
KOTA BHARU: Kerajaan negeri berharap rakyat Kelantan terutamanya golongan peniaga agar lebih mesra pelanggan bagi menarik ramai pelancong bertandang ke negeri itu sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tahun ini diisytihar TMK 2024 dengan tema ‘Food, Family and Festival’.
Katanya, menjadi hasrat kerajaan mengajak seramai mungkin rakyat luar datang merasai keenakan makanan di bumi Serambi Mekah.
“Kita nak ramai orang datang ke Kelantan dan pulang dengan rasa kembang jiwa, gembira dengan bermacam kenangan yang manis-manis sahaja.
“Kita nak hati mereka terikat dengan lemah lembut, baik budi, ramah mesra dan beragama rakyat kita. Biar jiwa mereka teringin nak ke Kelantan sentiasa.
“Kalau tahun ini datang bertiga, tahun hadapan datang bersama keluarga,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Tambah beliau, sempena TMK 2024, rakyat Kelantan dinasihatkan menyambut tetamu atau pelanggan dengan ramah mesra dan berbudi bahasa, selain premis jualan perlu dipastikan sentiasa bersih, indah dan ceria.
“Sapalah pelanggan dengan kelembutan budi dan amal perbuatan. Biarlah nampak lemah lembut dan tersusun. Orang Kelantan kan ada istilah ‘tertib terning’.
“Ketika menghantar makanan kepada pelanggan sekurang-kurangnya bertanya khabar dan hidanglah dengan sopan. Itulah sebenarnya budaya kita dan itulah juga tuntutan agama.
Mohamed Fadzli juga mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga makanan bagi mendapat keuntungan segera.
“Berbudi asalkan jangan rugi. InsyaAllah, Allah bagi keuntungan berganda. Kita tak akan rugi dengan berbudi,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/2/2024




















