
KOTA BHARU: “Saya tidak tergamak menyatakan bahawa kita perlu ikat PMX (Perdana Menteri, Dato; Seri Anwar Ibrahim) untuk stabilkan nilai Ringgit. Tapi itulah bahasa mereka dulu. Selamat menjalani pembedahan tulang belakang Menteri Ekonomi.”
Itu kenyataan berbaur sindiran oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari yang memaparkan tangkapan skrin portal media yang bertarikh Mei 2022, tentang kenyataan Rafizi Ramli yang merupakan Ketua Pembangkang ketika itu mengenai kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) yang berbunyi: “Tidak ada keperluan ikat mata wang. Kita hanya perlu ikat Najib Datuk Seri Najib Tun Razak). Itu saja…”
Namun, kira-kira dua tahun kemudian, ketika Rafizi bergelar Menteri Ekonomi Malaysia pada hari ini, nilai Ringgit menjunam kepada RM4.80 bagi satu Dolar Amerika (AS$) bermula semalam.
Kata Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, pembangkang ketika itu menuduh kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal mentadbir ekonomi negara menyebabkan nilai mata wang itu terus merudum setiap hari.
“RM yang lemah membuktikan dunia hilang keyakinan kepada Malaysia, kata ketua pembangkang dahulu. Manakala penyokong-penyokongnya apabila membicarakan hal ini akan mengalih tajuk.
“Buktinya lihat apabila mereka memberikan komen terhadap posting ini,” katanya pada status terbaru laman sosialnya hari ini sambil berkongsi satu pautan sebuah portal media tempatan kenyataan tersebut.
Terdahulu, Anwar Ibrahim telah mengarahkan Gabenor Bank Negara, Dato’ Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour untuk menilai prestasi mata wang tempatan yang kini jatuh merudum berbanding Dolar Amerika. – HARAKAHDAILY 21/2/2024




















