LaWa, pusat program aktiviti pemerkasaan wanita

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) Kelantan mengambil inisiatif mewujudkan Laman Wanita (LaWa) sebagai pusat aktiviti setempat yang menawarkan pelbagai program pemerkasaan wanita.

Program berkenaan melibatkan kemahiran bagi menjana pendapatan wanita, advokasi, kepimpinan dan sebagai pusat informatif berhubung isu-isu berkaitan wanita.

- Advertisement -

Anggota Exco kerajaan negeri Rohani Ibrahim berkata, LaWa merupakan pusat aktiviti setempat bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri serta menjana pendapatan wanita.

“Program hasil inisiatif Pejabat Pembangunan Wanita Kelantan itu dilaksanakan sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Maziah Che Yusoff; Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail’ Ketua Pengarah LPPKN Malaysia, Abdul Shukur Abdullah’;dan Pengarah Institut Sosial Malaysia, Dr Faridah Awang.

LaWa yang beroperasi di Pengkalan Chepa telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sempena program terbabit termasuk demo pembuatan produk pastri, biskut dan kuih muih, aktiviti seni jahitan pakaian dan jahitan kreatif dan kelas bunga ‘crochet’.

Beberapa usahawan wanita tempatan turut membuka reruai jualan bagi memperkenalkan produk mereka.

Sementara itu Nancy berkata, penubuhan LaWa selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Pelan Strategik KPWKM di bawah Teras 2 Memperkasa Wanita.

“LaWa ditubuh bagi menyediakan tempat bagi melaksanakan program-program yang mendukung usaha memperkasa wanita dalam mengurangkan jurang gender terutama dari segi pembangunan kapasiti dan kesejahteraan wanita,” katanya. – HARAKAHDAILY  21/2/2024

- Advertisement -