
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pulau Pinang digesa agar bertindak tegas terhadap kesemua ladang-ladang ternakan babi di negeri tersebut, sama ada di Tasik Gelugor, Nibong Tebal dan terbaharu, di Bukit Mertajam.
Pengerusi Lajnah Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (LASPI) PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, tindakan tegas tersebut termasuklah perlu menutup ladang-ladang ternakan babi yang berterusan mencemar sungai-sungai dan menyebabkan bau busuk di kampung-kampung berhampiran.
“LASPI PAS mempersoalkan pihak manakah yang sebenarnya mencemarkan Sungai Air Merah dan Sungai Kulim di Kedah, ladang ternakan babi atau ladang ternakan itik?” soal beliau yang juga mantan pensyarah di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.
Persoalan tersebut menurut beliau timbul disebabkan kenyataan berbeza antara Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, dan Pengerusi Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol.
Terdahulu, dalam laporan media tempatan pada 18 Februari 2024, Sharifah Zakiah dilaporkan berkata bahawa ladang ternakan babi di perkampungan Sungai Lembu di Pulau Pinang telah dikenal pasti sebagai punca pencemaran Sungai Air Merah dan Sungai Kulim di Kedah.
Namun pada keesokannya hari, Fahmi Zainol pula mengeluarkan kenyataan yang bercanggah, bahawa pencemaran di kedua-dua sungai tersebut berpunca dari ladang ternakan itik, bukannya ladang ternakan babi.
“Berdasarkan kepada dua laporan berkenaan, LASPI mempersoalkan laporan yang mana satukah yang benar? Namun, setelah meneliti berita-berita di media mengenai dua kenyataan tersebut, LASPI lebih cenderung untuk memihak kepada laporan oleh JAS Kedah,” ujarnya.
Menurut beliau, kecenderungan tersebut adalah berdasarkan kepada tiga fakta, yang mana pertamanya mengikut laporan media, siasatan yang dibuat oleh JAS Kedah adalah lebih terperinci dan menyakinkan.
“JAS juga (dilaporkan) telah mengintip punca pencemaran tersebut menggunakan dron sehingga melihat punca aliran pencemaran tersebut yang datang dari kumbahan yang dilepaskan oleh kolam takungan kumbahan ladang ternakan babi.
“Dalam laporan media, JAS telah berkongsi imej beberapa kolam takungan kumbahan ladang ternakan babi yang dikatakan menjadi punca pencemaran Sungai Air Merah dan Sungai Kulim,” tambah beliau.
Mohd Zuhdi berkata lagi, yang kedua, pengintipan yang dilakukan oleh JAS Kedah dibuat dalam situasi isu pencemaran tersebut belum diumumkan lagi, tetapi ia berdasarkan laporan yang dibuat oleh penduduk-penduduk sekitar.
“Berbanding dengan lawatan yang dibuat oleh YB Fahmi Zainol ketika isu ini sudah ‘meletup’, memungkinkan ladang ternakan babi tersebut tidak membuka pengaliran kolam takungan kumbahan mereka ke sungai.
“Lazimnya, pihak yang selalu melakukan pencemaran sungai memilih masa tertentu untuk mengelakkan jenayah pencemaran mereka diketahui umum,” hujah beliau.
Ketiga tambah beliau, rekod Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini dalam menangani pencemaran sungai yang disebabkan oleh kumbahan ladang ternakan babi adalah sangat buruk.
“Salah satu kes pencemaran oleh ladang ternakan babi yang sudah berlaku berpuluh-puluh tahun yang lalu dan sehingga kini masih belum selesai, iaitu di Sungai Kereh, Tasik Gelugor,” tegasnya.
Beliau turut menyatakan, begitu juga dengan pencemaran disebabkan operasi ladang ternakan babi di Kampung Jawi, Sungai Bakap, Nibong Tebal.
“Oleh sebab itu, diyakini pencemaran di Sungai Air Merah dan Sungai Kulim juga dari ternakan babi.
“Sewajarnya kerajaan Pulau Pinang lebih mementingkan kepentingan masyarakat awam, daripada membela penternak-penternak babi tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/2/2024




















