
ALOR SETAR: Isu tunggakan gaji pemain bola sepak pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak wajar dipolitikkan serta mengaitkan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkaitannya.
Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Ibrahim Ismail, berkata, tuduhan itu merupakan tuduhan berat sedangkan KDA FC sudah diswastakan kepada individu lain untuk mengurusnya.
“Menteri Besar yang juga Presiden KFA tidak mempunyai kawalan ke atas KDA FC dan semua keputusan yang diambil oleh pengurusan berkenaan atas faktor komersial dan kelestarian.
“Oleh itu KFA tidak bertanggungjawab mengenai isu tunggakan gaji pemain dan pegawai KDA FC ketika ini,” katanya memetik laporan sebuah media tempatan, di sini, hari ini.
Menurut Ibrahim, pemisahan antara KFA dan KDA FC sudah dilakukan sejak 2020 lagi, sementara, pemisahan secara keseluruhan antara keduanya bermula tahun 2022.
Oleh itu katanya lagi, mana-mana pihak mahupun individu yang membuat tuduhan ke atas KFA kononnya culas, cuai atau gagal membayar gaji diminta segera membuat permohonan maaf.
Pada Rabu, 7 Feb lalu, Sanusi melalui sidang medianya, telah mencadangkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil alih pengurusan KDA FC dan membayar gaji pemain serta kakitangannya yang tertunggak sejak empat bulan lalu.
Isu siasatan rasuah yang dikaitkan SPRM dengan KFA, ujar beliau telah mengakibatkan penaja KDA FC menarik diri.
“Diharap selepas ink tiada lagi pihak mempolitikkan isu tunggakan gaji pemain dengan mengaitkan Presiden KFA,” kata Ibrahim. – HARAKAHDAILY 11/2/2024




















