
PUTRAJAYA: Kemenangan Nik Elin merupakan satu malapetaka yang besar kerana pembatalan enakmen jenayah syariah di negeri Kelantan akan memberi kesan yang buruk kepada negeri-negeri lain di Malaysia.
“Perkara sebegini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh oleh setiap umat Islam. Apabila Undang-Undang Jenayah Syariah Islam di Kelantan dah mula dibatalkan, maka undang-undang syariah di negeri-negeri lain juga dalam keadaan yang amat bahaya dan kritikal,” katanya.
Kerajaan Negeri Kelantan merupakan Undang-Undang Dewan Undangan Negeri yang mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan sendiri.
Kata beliau, perkara ini jelas membuktikan bahawa seharusnya undang-undang syariah yang sedia ada tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak.
“Namun begitu, apa yang berlaku pada hari ini, Jumaat (9 Feb) ialah 8 daripada 9 orang hakim yang diketuai Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersetuju untuk membatalkan 16 peruntukan enakmen syariah Kelantan dan ini merupakan satu perkara yang amat menyedihkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media program Himpunan Syariah di hadapan Istana Kehakiman Negara, di sini, hari ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan menyebelahi Petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dengan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.
Beliau menyatakan hanya seorang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Yang Amat Arif Tan Sri Dato’ Abdul Rahman Sebli sahaja yang tidak bersetuju dengan petisyen tersebut.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Raja-Raja Melayu merupakan Ketua Agama Islam dalam pelbagai negeri yang mempunyai institusi diraja manakala Yang Di-Pertuan Agong adalah ketua agama dalam negeri-negeri Wilayah Persekutuan.
“Mempertahan undang-undang syariah Islam adalah tanggungjawab setiap umat Islam dalam negara ini dalam apa pun keadaan.
“Maka kita harus faham bahawa dengan mempertahankan undang-undang syariah bermaksud mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu itu sendiri sebagai ketua agama Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/2/2024




















