
KUALA LUMPUR: Kes Nik Elin bukan isu polemik politik, tetapi merupakan isu umat Islam perlu pertahankan, bertanggungjawab dan bertegas bagi memastikan kesucian Mahkamah Syariah terus terpelihara.
Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam satu kenyataannya berkata, rakyat Malaysia perlu faham tindakan Nik Elin memfailkan permohonan batal 20 kesalahan jenayah syariah Negeri Kelantan merupakan ancaman besar kepada bidang kuasa undang-undang Islam di Malaysia.
“Undang-undang kesalahan jenayah Syariah di Malaysia jelas hanya menangani jenis kesalahan berhubung perintah terhadap agama Islam sepertimana dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Jadual Kesembilan, Senarai Negeri.
“Orang Islam mempunyai hak dan kewajipan untuk dihukum di Mahkamah Syariah, selain untuk memartabatkan hukum-hakam Allah di Malaysia.
“Oleh sebab itu, telah ditetapkan oleh ‘our founding fathers’ di dalam perlembagaan negara kita bahawa Badan Perundangan Negeri boleh menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah di negeri masing-masing.
“Selagi mana ia merupakan suatu kesalahan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam sepertimana yang dinyatakan di dalam kes Sulaiman Takrib serta dalam lingkungan yang dibenarkan oleh Perlembagaan,” ujar kenyataan itu melalui Facebook, di sini, hari ini.
Sekiranya tuntutan Nik Elin ini berjaya, tambah kenyataan itu, perkara ini tidak terhenti kerana akan dijadikan rujukan pihak-pihak tertentu untuk mencabar peruntukan jenayah syariah di negeri-negeri lain dengan mudah.
“Kesannya, bidang kuasa mahkamah syariah akan menjadi semakin sempit. Manakala, usaha mengimplimentasikan hukum-hakam syariah yang menyeluruh di Malaysia akan menjadi semakin sukar.
“Lihat sahaja pada asas Nik Elin bertindak sedemikian, rentetannya adalah daripada penghakiman kes Iki Putra pada tahun 2019 dalam mencabar peruntukan jenayah liwat pada Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Dari satu peruntukan kesalahan dicabar, kemudian kini 20 peruntukan pula dicabar. Selepas ini, adakah seluruh peruntukan kesalahan dalam Enakmen Jenayah Syariah di seluruh negara juga akan dicabar?,” persoalnya bagi menyedarkan umat Islam mengenai hal tersebut.
Tambah kenyataan itu, umat Islam perlu sedar bahawa Mahkamah Syariah telah lalui pelbagai mehnah dalam usaha mengekalkan bidang kuasanya ke atas orang Islam.
“Kini, tanggungjawab kita untuk memastikan kesucian Mahkamah Syariah terus terpelihara. Ayuh ramai-ramai kita banjiri Perkarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pada 9 Februari ini (Jumaat), jam 9 pagi.
“Kita nyatakan ketegasan kita dalam usaha menyelamatkan institusi kehakiman syariah di Malaysia!,” ujar kenyataan tersebut.– HARAKAHDAILY 8/2/2024




















