
BANGKOK: Peguam negara Thailand sedang mempertimbangkan untuk mendakwa bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra atas dakwaan penghinaan terhadap monarki diraja negara itu, hanya beberapa minggu lagi kemungkinan beliau ibebaskan dengan parol.
Seorang pegawai kerajaan Thailand pada lewat Selasa (6 Feb) berkata, aduan berkenaan temu bual pada tahun 2015 yang diberikannya ketika berada di Korea Selatan dan difailkan oleh junta yang mengendalikan Thailand selepas tentera menggulingkan kerajaan yang dipimpin oleh adik perempuan Thaksin.
Thaksin bagaimanpun sebelum ini telah berulang kali berikrar taat setia kepada monarki Thailand.
Menghina raja adalah kesalahan serius dan penghinaan besar di Thailand, yang mana perlembagaan menyatakan raja mesti dipegang dalam kedudukan ‘pemujaan yang dihormati’, lapor Reuters.
Undang-undang lese-majeste adalah antara yang paling ketat di dunia, dengan setiap kesalahan yang dianggap boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun.
Thaksin yang pernah berpengaruh sebagai Perdana Menteri dari 2001 hingga 200 membuat kepulangan dramatik ke Thailand pada Ogos lalu selepas 15 tahun dalam buangan sendiri untuk menjalani hukuman penjara lapan tahun kerana salah guna kuasa, kemudian ditukar kepada setahun oleh raja.
Jutawan itu ditahan di sebuah hospital dengan masalah kesihatan yang tidak didedahkan dan masih belum menghabiskan satu malam penuh di penjara. Dia layak mendapat parol akhir bulan ini.
Jurucakap pejabat peguam negara, Prayur Petchkhun memberitahu pemberita, kelewatan tujuh tahun dalam bertindak atas aduan penghinaan diraja adalah kerana Thaksin berada di luar negara.
Beliau tidak memberikan jangka masa bila keputusan akan diambil, sambil menambah Thaksin, 74, telah menafikan salah laku dan memberikan pihak berkuasa ‘surat meminta keadilan’, namun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai dakwaan terhadap Thaksin.
“Jika Thaksin dibebaskan, beliau akan ditahan oleh polis,” kata Prayut, sambil menambah Thaksin boleh dibebaskan buat sementara waktu sementara peguam negara mempertimbangkan sama ada untuk membuat dakwaan.
Peguam Thaksin bagaimanapun tidak segera menjawab permintaan untuk memberikan sebarang komen buat masa ini.
Kerajaan semasa Thailand disokong oleh keluarga Shinawatra, dengan kepulangan Thaksin bertepatan dengan sekutu dan mogul hartanah Srettha Thavisin menjadi Perdana Menteri pada hari yang sama.
Terdahulu, sekutu Thaksin telah menafikan spekulasi mengenai perjanjian politik ruang belakang antara bekas pemimpin itu dan musuh kuatnya.
Pengumuman kemungkinan kes baharu terhadap Thaksin dibuat seminggu selepas Move Forward, parti terbesar di parlimen, dipaksa oleh mahkamah untuk memadamkan rancangan kontroversinya untuk meminda undang-undang lese-majeste.
Move Forward dilanda tekanann beberapa hari selepas itu oleh siri aduan berturut-turut yang meminta pembubarannya dan larangan seumur hidup untuk berpuluh-puluh penggubal undang-undang berhubung pendiriannya terhadap undang-undang melindungi mahkota diraja. – HARAKAHDAILY 7/2/2024




















