Video fitnah: Wan Saiful keluarkan amaran 

Wan Saiful Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Saya memberi (keluarkan) amaran kepada sesiapa pun supaya jangan cuba melakukan apa pun fitnah terhadap saya.”

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bangi, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau menerima satu pernyataan maaf daripada seorang individu bernama Shukri Shamsudin.

- Advertisement -

Menurut beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, individu tersebut telah memohon maaf susulan videonya yang memfitnah dirinya, yang mana video tersebut telah tersebar kepada orang ramai.

“Dalam video tersebut, Shukri memberi gambaran seolah-olah saya bersalah dan bersedia mengembalikan wang supaya pertuduhan kepada saya ditarik balik oleh pihak pendakwa,” katanya.

Beliau menyatakan hakikat sebenar ialah beliau berpendirian pendakwaan tersebut hanyalah sebagai pendakwaan yang terpilih yang bermotifkan politik semata-mata.

Beliau telah menerima permohonan maaf daripada individu tersebut lebih-lebih lagi apabila mendapati dia tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan.

“Biasanya dalam kes sebegini, saya juga boleh menuntut pampasan tunai tetapi apabila Saudara Shukri menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai kemampuan kewangan maka saya bersimpati dan bersetuju untuk tidak membuat tuntutan pampasan.

“Namun begitu, selepas ini saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang yang sama sekiranya ada sesiapa yang cuba mencemarkan nama baik saya,” jelasnya.

Beliau juga menasihatkan setiap pihak supaya berusaha mewujudkan satu budaya politik yang lebih bermaruah dan berakhlak mulia.

Ini kerana menurut beliau, ada kalanya generasi baru yang berpolitik juga tersepit dengan dendam lama sehingga menyebabkan ramai orang yang tidak bersalah menjadi mangsa keadaan. 

“Dengan itu, saya mengambil peluang ini untuk menyeru kepada semua agar kita gunakan ruang yang ada untuk berusaha mewujudkan suasana politik lebih matang, yang berteraskan ilmu dan bukan lagi politik fitnah dan dendam,” katanya.  HARAKAHDAILY  5/2/2024

- Advertisement -