Sepatutnya Kg Baru KL, bukan Kg Baru Cina Selangor

Kampung Baru di Kuala Lumpur mempunyai nilai sejarah yang tinggi, dan lebih bertepatan dengan dasar dan identiti Malaysia.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sepatutnya Kampung Baru Kuala Lumpur yang perlu dijadikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, bukan Kampung Baru Cina di Selangor.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ini kerana Kampung Baru di ibu kota Malaysia itu mempunyai nilai sejarah yang tinggi, dan  sememangnya lebih bertepatan dengan dasar dan identiti negara ini. 

- Advertisement -

Beliau mengulas kenyataan kerajaan baru-baru ini yang ingin menjadikan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Kata beliau, perkara tersebut adalah cadangan ‘bernas’ daripada Menteri DAP terhadap kerajaan pada masa ini yang menyebabkan timbulnya satu persoalan utama.

“Apakah  nilai sejarah dan perpaduan buat Kampung Baru Cina di Selangor ini layak diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO oleh kerajaan Madani?” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

Menurut beliau, Kampung Baru Cina di Malaysia adalah bukti peninggalan (remnants) Perang Dingin (Cold War) yang mana ketika itu rakyat negara ini bermati-matian berjuang melawan pelbagai ancaman Bintang Tiga Komunis.

Tambah beliau, pengganas tersebut telah mengorbankan ramai tentera dan polis negara ini tanpa mengira bangsa Melayu, Cina, India, Sikh dan seumpamanya termasuklah tentera British.

“Ada banyak lagi warisan kebudayaan dan sejarah kaum Tionghua yang lebih layak dan bertepatan dengan semangat Dasar Kebudayaan Kebangsaan,

“Sebagai contoh, apa saja yang diwariskan oleh Cina Peranakan/ Baba Nyonya yang menepati ciri-ciri Warisan Dunia UNESCO yang cocok dengan acuan Malaysia berbanding dengan kampung tersebut,” jelasnya.

Beliau turut mempersoalkan motif Menteri tersebut melakukan perkara sedemikian kerana tindakan sebegini seolah-olah ingin mengubah naratif sejarah identiti negara itu sendiri.

“Perkara tersebut tidak boleh dibiarkan sewenang-wenangnya memandangkan negara ini mempunyai nilai sejarah yang amat berharga yang perlu dipertahankan dalam apa jua keadaan.

“Jadi, saya menggesa Menteri-menteri UMNO supaya jangan berpeluk tubuh dalam hal ini kerana tindakan sebegini mesti bantah dalam kabinet,” katanya.  HARAKAHDAILY  5/2/2024

- Advertisement -