
SINGAPURA: Daging yang dihasilkan di makmal sekiranya daripada sel-sel haiwan halal dan ramuan akhir juga tidak mengandungi komponen tidak halal, maka ia diklasifikasikan halal dan akan dibenarkan untuk kegunaan umum.
Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata, keputusan ini adalah contoh bagaimana penyelidikan fatwa perlu berkembang dengan teknologi moden dan perubahan sosial, lapor Malay Mail Singapore.
Beliau dilaporkan memberi ucapan untuk melancarkan persidangan dua hari mengenai fatwa dalam masyarakat kontemporari yang diadakan di Hotel Parkroyal on Beach Road bermula semalam.
Sementara Menteri Hal Ehwal Islam Singapura, Masagos Zulkifli, memberitahu pemberita di luar persidangan itu, bahawa isu daging yang diusahakan di makmal telah dikaji oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sejak 2022.
“Kita boleh menjadi antara negara pertama di dunia yang benar-benar menerajui bidang ini, bukan sahaja menghasilkan daging yang diusahakan, tetapi juga dalam memastikan ia halal untuk dimakan oleh orang Islam,” katanya.
Kira-kira 400 tetamu yang dilaporkan terdiri daripada ketua agama antarabangsa, duta serta ketua agama dan masyarakat di sini selain daripada Dr Nazirudin dan Masagos, serta Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat juga hadir.
“Pihak berkuasa agama perlu membenarkan pelarasan kepada ketetapannya memandangkan perkembangan teknologi dan perubahan sosial berlaku.
“Kami pastinya boleh berusaha ke arah Islam yang berusaha untuk memelihara dan melindungi semua kehidupan manusia, dan menjamin semua bentuk kesejahteraan.
“Bukannya memegang pandangan eksklusif yang mengehadkan siapa dan dengan apa kami bekerja,” kata Nazirudin.
Tambah beliau, ada pihak yang berpendapat bahawa tidak ada keperluan untuk sumber makanan sedemikian dan masyarakat Islam harus terus menikmati makanan ‘sebenar’ seperti daging asli.
Jawatankuasa Fatwa MUIS bagaimanapun katanya, telah mempertimbangkan dengan teliti sama ada daging yang dihasil di makmal dibenarkan untuk dimakan oleh orang Islam.
Katanya lagi, jawatankuasa yang dipengerusikannya melawat makmal di mana daging diusahakan dalam bioreaktor dan beliau akui bahawa terdapat ‘banyak perkara baharu untuk dipelajari daripada teknologi itu sendiri’.
“Walaupun ini pada asalnya sel haiwan, kami pada dasarnya berurusan dengan sesuatu yang berbeza secara asas. Jadi bagaimana kita, dalam perundangan Islam… melayan sesuatu yang kelihatan biasa… namun pada asasnya berbeza?
“Bilakah kita harus menggunakan prinsip dan peraturan yang telah ditetapkan, dan bilakah kita perlu berfikir semula?,” soalnya.
Beliau menegaskan, memilih untuk membiarkan generasi akan datang menangani isu itu akan menghadapi krisis yang lebih besar pada masa hadapan.
“Jawatankuasa memutuskan bahawa adalah dibenarkan, ia adalah halal, untuk mengambil daging yang diusahakan di makmal di mana sel-selnya adalah daripada haiwan yang halal atau dibenarkan dalam Islam, dan di mana bahan akhir tidak mengandungi komponen tidak halal,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/2/2024




















