Bukan masa sesuai bubar DUN Sabah

Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekarang bukan masa yang sesuai untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagaimana yang telah diuar-uarkan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, sebaliknya sekarang ini masa untuk memastikan dana daripada Belanjawan Sabah 2024 bertemakan ‘Sabah Teguh, Rakyat Terbela’ yang berjumlah RM5.701 bilion disalurkan terus kepada rakyat. 

- Advertisement -

“Belanjawan itu seharusnya dapat dinikmati oleh rakyat demi membela kesejahteraan dan kebajikan hidup mereka. Sabah masih lagi dibelenggu dengan isu kemudahan asas yang belum berkesudahan. 

“Apa yang penting, belanjawan yang diumumkan mesti diusahakan untuk menyelesaikan isu ini. Selepas lebih 60 tahun merdeka, kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik masih lagi menjadi perbahasan setiap masa.

“Kalangan rakyat yang mengharapkan penyelesaian yang tuntas daripada kerajaan. Isu jalan raya juga acap kali dibangkitkan dan berlarutan sejak sekian lama. ‘Jalan raya berlubang seperti kolam’ menjadi rungutan rakyat,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu juga menegaskan, masalah yang membahayakan keselamatan rakyat mesti diselesaikan dengan kadar segera, termasuk isu rakyat dihimpit kenaikan harga barang dan keperluan. 

“Perhatian dan pemantauan yang efektif dan berkesan mesti diadakan kerana saban hari rakyat semakin tersepit dengan kenaikan harga barangan seperti ikan, tepung, gula, minyak masak, susu dan sayuran,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai kerajaan yang prihatin dan mengutamakan rakyat, inilah masanya untuk membela nasib rakyat dengan memberikan penyelesaian yang diperlukan. 

“Sekali lagi saya mengulangi bahawa ini bukan masanya untuk DUN Sabah dibubarkan. Ini adalah masa untuk terus bekerja demi kesejahteraan rakyat,” katanya.  HARAKAHDAILY  2/2/2024

- Advertisement -