Delegasi PAS kunjungi Kedutaan Afrika Selatan

Ahmad Fadhli (tiga dari kanan), David Evan Malcomson (dua dari kanan), Muhammad Khalil (empat dari kanan) dan Mumtaz (empat dari kiri) di Kedutaan Afrika Selatan, Kuala Lumpur pada hari ini, 29 Jan 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat telah mengunjungi Kedutaan Afrika Selatan sebagai tanda penghargaan kepada pendirian negara itu dalam isu Palestin-Israel.

Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, beliau memuji Afrika Selatan yang bukan sekadar menyokong Palestin tetapi juga mengemukakan saman kezaliman negara haram Israel dalam Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

- Advertisement -

Menurutnya, ia telah membuktikan bahawa isu Palestin bukan hanya sekadar melibatkan agama semata-mata tetapi juga merupakan jenayah kemanusiaan.

“Kami telah menyerahkan surat daripada Presiden PAS Pusat, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang berterima kasih atas tindakan berani yang dilakukan oleh Afrika Selatan,” katanya selepas selesai perbincangan dengan diplomat Afrika Selatan, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia, David Evan Malcomson; Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari; dan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi.

Sehubungan itu, Muhammad Khalil menyatakan bahawa kes Israel itu telah dijadikan sebagai ‘prima facie’ oleh pihak ICJ yang memberikan tamparan hebat kepada negara haram tersebut.

Tambah beliau, negara haram tersebut bakal didakwa sebagai penjenayah pembunuhan beramai-ramai atau genosid.

“Jadi, perkara sebegini membuka minda orang ramai bahawa isu Palestin ini benar-benar merupakan isu kemanusiaan yang perlu dibela,” tegasnya.

Sementara itu, Ahmad Fadhli turut meluahkan rasa bangga terhadap negara Afrika Selatan kerana sudi membela nasib rakyat Palestin.

Beliau menyatakan bahawa kunjungan delegasi PAS ke kedutaan Afrika Selatan di Kuala Lumpur pada hari ini adalah sebagai langkah pertama dalam sejarah sebagai tanda sokongan terhadap Afrika Selatan kerana membela nasib rakyat Palestin.

“Akan ada banyak lagi perkara yang akan dibincangkan selepas hari ini tetapi ini merupakan satu permulaan yang baik, dan kami bersama-sama akan mengadakan perbincangan untuk langkah-langkah seterusnya mengenai isu tersebut,” katanya.  HARAKAHDAILY  29/1/2024

- Advertisement -