
CAMERON HIGHLANDS: Kesemua lima mangsa kejadian tanah runtuh di Batu 59, Kampung Raja, Blue Valley, Cameron Highlands disahkan warga Myanmar.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Cameron Highlands berkata, kelima-lima mereka ialah masing-masing Shing Lan Har, 56; Shing Aung, 39; Om Myue, 38; Haphey, 36, dan Thang Moung, 25 tahun.
“Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands menerima laporan pada 2.10 pagi Jumaat dan bergegas ke lokasi bagi pemeriksaan dan mengkoordinasi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Pemeriksaan mendapati tempat kejadian telah terputus hubungan dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda untuk ke lokasi,” menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan bahawa dua mayat telah ditemui sementara tiga lagi dipercayai tertimbus dalam runtuhan yang menimpa rumah yang didiami kelima-lima mangsa tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat telah diketuai oleh Pegawai Operasi Balai Bomba Cameron Highlands, PBK I Wan Zaidi Wan Mokhtar bersama lapan orang pegawai bomba.
Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands telah diarahkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan logistik satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera penyelamat kebakaran (FRV) dan sebuah kenderaan utiliti Toyota Hilux.
Jabatan Bomba telah menggerakkan bantuan Pasukan Khas yang terdiri daripada Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) untuk ke lokasi kejadian.
Turut digerakkan bantuan Pasukan Khas dari Negeri Perak, Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Unit Pengesan (K9).
Operasi juga melibatkan rakan strategik jabatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Jumlah keseluruhan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kejadian ini adalah seramai 132 orang. – HARAKAHDAILY 27/1/2024




















