Den Manjo nyanyi lagu tema TMK2024, I Love Kelate

Tiga anak jati Kelantan (dari kiri), Emie Sukmasari, Fendi Kenali dan Den Manjo diberi tanggungjawab untuk lagu tema Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK2024), I Love Kelate. (FOTO: HARAKAHDAILY/Rizal Tahir)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Den Manjo yang terkenal sebagai penyanyi lagu-lagu daerah Kelantan serta dua anak muda negeri ini, pencipta lagu, Emie Sukmasari dan penulis lirik, Fendi Kenali telah diberi peluang dan tanggungjawab untuk lagu tema sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK2024) berjudul, I Love Kelate.

Fendi Kenali atau nama sebenarnya, Mohd Afandi Mohd, berkata, lirik lagu I Love Kelate sempena TMK2024 dicipta khusus olehnya sebagai hadiah daripada pihaknya untuk kerajaan Kelantan.

- Advertisement -

“Ini kerana kerajaan negeri sering memberi sokongan kepada penyanyi tempatan yang menghiburkan masyarakat menerusi lagu-lagu daerah Kelantan selama ini.

“Alhamdulillah, kami pun tak sangka lagu ini dipilih kerajaan negeri sebagai ikon dan lagu tema sempena TMK 2024.

I Love Kelate ini kami ciptakan bersama, yang mana saya  sendiri bertindak sebagai pencipta lirik, manakala Emie pula sebagai pencipta  supaya sepadan untuk digabung dan di jalinkan bagi melahirkan sebuah lagu yang menarik,” katanya.

Bukan itu sahaja, ujar Fendi, lagu ini juga mempunyai  penceritaan khusus  berkenaan keistimewaan Kelantan sama ada dari segi keindahannya atau lain-lain berkaitan.

“Kami harap lagu ni boleh pergi jauh lagi supaya orang di luar Kelantan mengenali negeri ini melalui lagu tersebut, dan mendorong mereka untuk mengunjungi negeri kita ini,” kongsinya yang menambah bahawa lirik lagu dihasilkannya agar ia sentiasa diubah mengikut kesesuaian masa.

Sementara Emie Sukmasari atau nama sebenarnya Zulhilmi Mohamed memberitahu, irama segar diadun dengan lirik yang menarik bertujuan untuk pendengar mengenali Kelantan melalui lagu I Love Kelate.

Menurutnya, lagu berkenaan khusus untuk mempromosikan Kelantan kepada masyarakat luar, malah ia telah menjadi tular di media sosial khususnya di platform TikTok.

“Lagu ini telah mendapat sambutan luar biasa, malah pendengar bukan sahaja anak jati negeri, sebaliknya  dari luar kelantan kerana lagunya yang segar di samping lirik yang cukup menarik.” tuturnya.

Den Manjo pula mengucapkan terima kasih pada kerajaan Kelantan di atas sokongan yang diberikan pada pihaknya sebagai penggiat seni di negeri itu.

Den atau nama sebenarnya, Mohamad Hafizzudin Md Yusof  turut melahirkan rasa bangga apabila diberi peluang menyanyikan lagu tema TMK 2024 itu.

“Den yakin  lagu ini mampu menjadi tarikan ramai termasuk luar Kelantan apabila ada respons di TikTok oleh  pendengar dari Kedah, Perlis, malah di  luar negarapun ada seperti Brunei, Indonesia, Thailand dan Singapura,” katanya.  HARAKAHDAILY  25/1/2024

- Advertisement -