
PASIR MAS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kes membabitkan seorang peniaga kosmetik yang jatuh dari Jambatan Tendong, Pasir Mas, yang kini memasuki hari kesembilan telah ditamatkan semalam.
Anggota Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau difahamkan penamatan SAR itu dilakukan berikutan tiada sebarang petunjuk diperoleh.
Pada masa sama katanya, tempoh pencarian juga telah dilakukan sudah melebihi seminggu yang lalu.
“Kita faham situasi keluarga mangsa menghadapi situasi ini, namun kita berharap usaha berdoa, solat hajat hendaklah sentiasa diteruskan oleh anggota keluarga,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily.
Terdahulu, dalam kejadian pada 15 Jan lalu kira-kira jam 6.48 petang, Norhisyam Ismail, 43, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan di Jambatan Tendong, di sini
Selain Ahmad Fadhli, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong, Rozi Muhamad adalah antara wakil rakyat yang tiba awal untuk bertanya khabar serta memberi sokongan moral pada keluarga mangsa.
Turut hadir di lokasi kejadian ialah Anggota Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk bertanya khabar anggota keluarga dan petugas-petugas keselamatan.
Sementara itu media melaporkan abang kepada mangsa, Sukardi Ismail, 47, berkata meskipun operasi mencari pihak berkuasa ditamatkan, mereka sekeluarga dengan bantuan kenalan serta keluarga tetap turun ke sungai mencari jasad Norhisyam.
– HARAKAHDAILY 24/1/2024




















