
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani perlu memastikan bekalan air paip berkualiti dan bersih dapat disalurkan kepada rakyat, hasil daripada penyelarasan tarif air ini.
Aktivis politik, Shahir Adnan berkata demikian sambil menambah bahawa, kenaikan tarif diharap dapat menambah baik sistem bekalan air di negeri-negeri terlibat agar tiada lagi yang terkesan susulan gangguan bekalan akibat paip usang pecah, tekanan air rendah dan kualiti air berkeladak.
Beliau memberi reaksi susulan pengumuman Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bahawa pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Feb ini.
Dalam satu kenyataan pada 17 Jan lalu, SPAN telah mengeluarkan satu kenyataan berhubung dengan pelarasan tarif air yang perlu dilaksanakan susulan operator air di negeri-negeri telah menghadapi beberapa kekangan dan cabaran dalam menyampaikan perkhidmatan pembekalkan air berkualiti kepada pengguna.

Kenyataan itu antara lain menyebut bahawa kualiti air tidak terawat tidak memuaskan, kadar air tidak berhasil (NRW) tinggi, lambakan paip usang melebihi 30 tahun, Loji Rawatan Air (LRA) melebihi kapasiti, hutang tertunggak tinggi dan pendapatan yang tidak dapat menampung kos operasi.
Sehubungan itu, SPAN menegaskan, pelarasan tarif air domestik itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.
Semakan tarif air di Pahang, Terengganu
Shahir justeru menegaskan bahawa tarif air di Pahang misalnya tidak disemak sejak 40 tahun lalu, sedangkan kos terus meningkat.
“Tarif air di Terengganu pula tidak disemak sejak 20 tahun lalu,” tegasnya.
Oleh itu, ujar beliau, syarikat-syarikat air negeri perlu mempertingkatkan kecekapan operasi dan berusaha untuk menurunkan jumlah Non Revenue Water atau NRW.
“Hasil pelarasan tarif perlu digunakan untuk menyelesaikan isu NRW melalui penggunaan teknologi terkini dan penambahbaikan sistem amaran kebocoran,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2024




















