
SEREMBAN: Seramai 591 orang Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) seluruh negara yang telah menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAK) Perguruan PASTI Malaysia.
Guru-guru yang telah menyelesaikan siri Latihan Perguruan PASTI di Institut Latihan PASTI Malaysia (ILPM) ini menerima diploma dalam Majlis Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia kali ke 14.
Majlis tersebut diadakan selama dua hari bermula Jumaat (19 Jan) lepas sehingga 20 Januari (Sabtu) di Nilai Springs Resort Hotel, Nilai, di sini.
Sidang pertama malam 19 Jan lalu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS (DUPM), merangkap Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail.
Sementara, sidang kedua pagi tadi (20 Januari) telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS (DPPM), juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri.

Majlis Konvokesyen tersebut turut dihadiri oleh Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS, Ustaz Mohd Aizat Zakaria; Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Damanhuri Dol; Pengarah Institut Latihan PASTI Malaysia (ILPM), Mohamad Helmi Affindi Ali; barisan senat PASTI Malaysia’ dan ahli-ahli Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Seterusnya, Ketua Majlis Guru PASTI Malaysia, Saadiah Abu Bakar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Kamarol Ridzuan Md Zain; Ahli-ahli Lembaga Pengarah PASTI Malaysia dan Pengarah-Pengarah PASTI Negeri; serta para graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.
Majlis Konvokesyen kali ini turut mencatatkan sejarah yang tersendiri apabila ILPM buat julung kalinya melahirkan seorang graduan di kalangan guru Muslimin yang pertama, graduan dari Selangor, Mohammad Kamil Ayop. – HARAKAHDAILY 20/1/2024




















