
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS mengecam tindakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang bertindak menggunakan kalimah Ilahi dalam hantaran perayaan Ponggal di laman media sosial beliau.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hafez Sabri berkata, meskipun hantaran tersebut telah diturunkan, namun penggunaan kalimah Ilahi tersebut dilihat sengaja menyentuh isu sensitif memandangkan istilah ilahi adalah istilah Arab yang menjadi kata dasar bagi kalimah ‘Allah’.
“Penggunaan istilah Ilahi sepertimana digunakan Nga Kor Ming selalunya digunakan merujuk kepada Allah Maha Esa yang menjadi Tuhan umat Islam.
“Hal ini bertepatan dengan definisi Kamus Dewan Edisi Ke-4 yang meletakkan makna kalimah Ilahi sebagai merujuk kepada istilah Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tambahan daripada itu adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa yang menggunakan perkataan ‘Ilahi’ dengan penggunaan kepada agama selain Islam seperti upacara-upacara keagamaan sejajar dengan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam negeri-negeri antaranya di negeri Kelantan.
“Bahkan, perkataan ‘Ilahi’ ini juga disenaraikan antara perkataan-perkataan yang tidak boleh dikaitkan dengan agama bukan Islam,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi.
Tambah beliau, sebagaimana diterangkan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor, orang bukan Islam dinasihatkan untuk tidak menggunakan kalimah Ilahi dalam menggunakan kalimah ini selain daripada untuk agama Islam sebagai langkah menjaga keharmonian.
“Pemuda PAS meraikan kepelbagaian agama dan kaum yang ada dalam negara kita. Bahkan kepelbagaian agama ini merupakan hak semua rakyat Malaysia sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Namun begitu, janganlah kepelbagaian agama dan kaum ini menjadi tiket kepada mana-mana kumpulan dan ahli politik cauvinis untuk sengaja mempamerkan dominasi dan ‘kekuatan’ politik mereka dengan melakukan tindakan sebegini,” tegas Hafez.
Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa Pemuda PAS Malaysia menggesa Nga Kor Ming untuk memohon maaf berkenaan hantaran ini.
“Kami mengulangi pendirian bahawa Islam adalah agama yang terbuka dan meraikan keberadaan kaum lain. Hal ini termasuklah dalam hal-hal perayaan, namun begitu batas-batas agama dan sensitiviti tidak wajar disentuh secara semberono,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/1/2024




















