
KUALA LUMPUR: “Jangan menjadi penjamin (guarantor) kepada sesiapa pun dengan cara sesuka hati supaya tidak memakan diri.”
Pempengaruh terkenal, Tai Zee How, dalam laman sosial Facebooknya Ulasan Apek Cina, berkata demikian, susulan ramai orang telah datang untuk berjumpa dengannya bagi meminta nasihat guaman mengenai perkara tersebut.
Beliau yang turut dikenali sebagai ‘Apek Cina’ menyatakan perkara sebegini telah banyak terjadi bukan sahaja dalam kalangan bangsa Melayu tetapi juga terhadap semua kaum yang ada di dalam negara ini.
“Isu begini, seseorang ini ada semangat setia kawan atau percaya kepada partner, sign dokumen untuk menjadi penjamin untuk dapatkan pinjaman, tetapi akhirnya peminjam wang itu sendiri yang gagal bayar balik hutang dan penjamin pula kena saman dan menjadi muflis,” katanya.
Beliau menyatakan perkara sebegini telah banyak terjadi kerana hanya mempercayai kata-kata daripada peminjam itu sendiri, sama ada dalam kalangan kawan, saudara-mara atau rakan sekerja.
Namun begitu, kata beliau, apa yang terjadi ialah terdapat beberapa kes di mana sebahagian daripada mereka sendiri pun tidak boleh menjamin apa yang berlaku dalam apa jua urusan hutang-piutang.
“Saya beri contoh senario-senario yang boleh terjadi ialah peminjam meninggal dunia, peminjam gagal dalam perniagaan, dan peminjam mempunyai hutang yang terlalu banyak sehingga terpaksa mengisytihar muflis.
“Perkara-perkara sebegini boleh berlaku di luar jangkaan yang mana akhirnya penjamin itu sendiri yang akan dituntut oleh peminjam sama ada dalam kalangan individu, institusi kewangan dan bank, yang mana oleh sebab itu nak jadi penjamin pun perlu berhati-hati walau apa pun,” jelasnya.
Beliau juga berkongsi petua bahawa sebaik-baiknya jadi penjamin hanya untuk anak-anak dan pasangan (suami isteri) serta ibu bapa sendiri perlu elakkan anak-anaknya dijadikan sebagai penjamin hutang.
Ini kerana kata beliau, perkara-perkara sebegini adalah untuk mengelakkan bukan sahaja dirinya tetapi juga keluarganya daripada risiko kewangan yang tidak sepatutnya.
Tambah beliau, tidak digalakkan untuk seseorang menjadi penjamin kepada saudara mara (kecuali untuk pendidikan sahaja), kawan-kawan, teman lelaki dan wanita, dan juga rakan perniagaan.
“Nasihat saya beginilah…siapa nak ambil (nasihat) silakan dan tak mahu ambil pun tak apa, tetapi fikirlah satu perkara ini – wajarkah kita dedahkan orang kesayangan kita risiko untuk sengsara sekadar nak ‘bantu’ orang lain?” katanya. – HARAKAHDAILY 16/1/2024




















