
MADINAH: “Jangan bermalas-malasan untuk berdoa. Sebab rasa selesa, rasa gembira bila kita berdoa dan tidak semua orang yang bernasib baik dapat pergi sekali dalam hidup (Raudhah).
“Kalau kita nak menunaikan ibadah haji pun sekarang.. (kita akan) menunggu 100 lebih tahun, kalau kita daftar hari ini. Tapi jangan mengubah (takdir) bahawa Allah SWT menentukan qada’ dan qadar kita.
“Berdoalah banyak-banyak sebab inilah peluang yang kita mahu ketika memasuki ke dalam Raudhah. Rasulullah SAW pernah sebut disitulah tempat syurga dan di situlah kebiasaannya doa akan dimakbulkan, insya-Allah.”
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata demikian ketika menyantuni jemaah asnaf JAWI ketika mereka sedang beratur di pekarangan Masjid Nabawi untuk menziarahi Raudhah pada 7 Jan 2024.
Sehubungan itu, beliau turut melahirkan kesyukuran kerana syarikat pengendali umrah, haji dan pelancongan terkenal negara, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd.(Andalusia) amat bermurah hati dalam berkongsi rezeki untuk memenuhi impian jemaah bagi menunaikan ibadah umrah di Kota Makkah dan Madinah.

Tidak ketinggalan, beliau justeru menasihati agar jemaah dapat melakukan solat sunat dan berdoa di dalam Raudhah yang merupakan antara makam Rasulullah SAW dan mimbar masjid atau dikenali sebagai tiang berwarna putih.
“Pertama.. doakan untuk kesejahteraan pasangan sama ada suami atau isteri, seterusnya untuk anak-anak.

“Kedua, berdoa untuk ibu bapa. Tapi jangan lupa mendoakan kesejahteraan untuk Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin.
“Kalau ada kesempatan lagi.. doakan saya agar sihat dan diberi kekuatan agar dipermudahkan untuk menguruskan apa sahaja yang mendatang.
“Selepas berdoa kita perlulah berserah kepada Allah SWT dan yakin bahawa Allah SWT akan mencukupkannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/1/2024





















