
KUALA LUMPUR: Ribut petir yang disertai hujan lebat dan angin kencang diramal melanda tujuh negeri di Semenanjung serta di Sabah dan Sarawak sehingga jam 5 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataannya berkata, keadaan cuaca itu diramal di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah.
“Di Pahang membabitkan kawasan Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera,” ujar kenyataan itu.
Di Kelantan katanya cuaca itu diramal di kawasan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang manakala di Terengganu membabitkan kawasan Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman; selain membabitkan daerah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan.
“Di Sabah pula membabitkan kawasan pedalaman (Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Tawau, Sandakan dan Kudat (Kota Marudu); manakala di Sarawak, ia melibatkan kawasan Sri Aman, Betong (Pusa dan Betong) serta Mukah,” tambah kenyataan METMalaysia itu lagi.
Orang ramai dinasihatkan merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – HARAKAHDAILY 7/1/2024




















