
NEW JERSEY, Amerika Syarikat: Seorang imam yang ditembak di luar masjid Newark di sini telah meninggal dunia akibat luka tembakan.
Peguam Negara New Jersey, Matt Platkin berkata, kehilangan Imam Hassan Sharif akan dirasai di seluruh negeri dan bandar, sambil menambah tiada bukti yang menunjukkan tembakan itu bermotifkan anti-Muslim.
“Ulama Islam itu berada di dalam kenderaannya apabila dia ditembak lebih daripada sekali berhampiran masjid,” ujar pula Pendakwa Raya Essex County, Ted Stephens dalam sidang akhbar.
Pengarah Keselamatan Awam Newark, Fritz Frage dalam satu kenyataan melalui e-mel pula berkata, Imam Hassan Sharif ditembak selepas jam 6 pagi Rabu (3 Jan), waktu tempatan, di luar masjid Masjid-Muhammad-Newark, lapor TRT World.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Universiti berhampiran dalam keadaan kritikal, tetapi kemudian meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.
“Kes tembakan itu sedang disiasat, dan tiada maklumat lain diperoleh setakat ini,” katanya.
Pihak berkuasa tempatan berusaha untuk mengenal pasti dan menangkap penembak, dan walaupun motifnya tidak jelas, namun Gabenor Newark, Phil Murphy berjanji untuk melakukan apa yang mungkin untuk melindungi rumah ibadat umat Islam tersebut.
“Pada masa masyarakat Islam bimbang dengan peningkatan insiden anti-Muslim dan jenayah, saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat Islam dan semua agama bahawa kita akan melakukan segala-galanya untuk memastikan semua penduduk selamat, terutama di dalam atau berhampiran rumah ibadat,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/1/2024




















