Cools suntik semangat Harimau Malaya di Piala Asia

Barisan skuad Harimau Malaya bersama-sama jurulatih, Kim Pan Gon kini berada di Doha sempena Piala Asia. (FOTO: FAM)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kehadiran pemain pertahanan kental, Dion-Johan Cools menyuntik semangat pada hari kedua sesi latihan skuad Harimau Malaya di Qatar University, Doha, Qatar, malam tadi.

Kehadiran kapten skuad kebangsaan itu sekali gus melengkapkan senarai 26 pemain yang dibawa ke Piala Asia 2023.

Senarai akhir 26 pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon telah diumumkan bagi membarisi skuad Harimau Malaya membawa cabaran Malaysia dalam kempen Piala Asia 2023 di Qatar dari 12 Jan hingga 10 Feb 2024.

- Advertisement -

Cools menyertai barisan pertahanan Harimau Malaya yang dibarisi La’vere-Lawrence Corbin-Ong, Matthew Davies, Junior Eldstar, Shahrul Mohd Saad, Daniel Sang Ting, Muhammad Syahmi Safari, Dominic Tan, dan Ahmad Khuzaimi Piee.

Beberapa pemain berpengalaman seperti Natxo Insa, Brendan Gan dengan nama-nama seperti Stuart Wilkin, Syamer Kutty, Endrick Dos Santos pula diberi peranan besar untuk mengemudi nadi posisi tengah negara.

Kesemua mereka dilengkapi barisan tiga penjaga gol yang terdiri daripada Syihan Hazmi, Sikh Izhan dan Azri Ghani.

Dion-Johan Cools merupakan tonggak utama barisan pertahanan skuad Harimau Malaya.

Skuad Harimau Malaya yang telah tiba di Doha, Qatar pada Isnin (1 Jan) lalu akan mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang Syria pada Isnin, 8 Jan ini sebagai aksi pemanas badan menjelang sepak mula Piala Asia 2023.

Bagi saingan Kumpulan E, Malaysia akan bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin (15 Jan) jam 8.30 malam (1.30 pagi Selasa waktu Malaysia); Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu (20 Jan), jam 5.30 petang (10.30 malam waktu Malaysia) dan Republik Korea di Stadium Al Janoub pada Khamis (25 Jan) jam 2.30 petang (7.30 malam waktu Malaysia).

“Berdasarkan ranking terkini FIFA pada 21 Dis 2023, Malaysia kini di tangga 130, Jordan di tangga 87, Bahrain di tangga 86 manakala Republik Korea di tangga 23 dunia,” ujar satu kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.

Senarai akhir 26 pemain yang telah diumumkan bagi membarisi skuad Harimau Malaya membawa cabaran Malaysia dalam kempen Piala Asia 2023 di Qatar dari 12 Jan hingga 10 Feb 2024.

Tambah kenyataan itu, dua pasukan teratas setiap kumpulan iaitu 12 pasukan (Juara dan Naib Juara kumpulan A, B, C, D, E dan F) bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik kumpulan akan layak ke Pusingan 16 Terbaik yang dijadual berlangsung pada 28, 29, 30 dan 31 Januari 2024.

“Seterusnya, Suku Akhir akan berlangsung pada 2 dan 3 Feb 2024, Separuh Akhir pada 6 dan 7 Feb manakala Final pada Sabtu, 10 Feb di Stadium Lusail.

“Ini merupakan kali keempat Malaysia berjaya layak beraksi di pentas Piala Asia selepas 18 edisi yang mana Malaysia layak secara merit pada edisi 1976 dan 1980, serta layak automatik selaku tuan rumah bersama pada 2007. Pada ketiga-tiga edisi tersebut, Malaysia kandas di peringkat kumpulan,” tambah kenyataan itu.  HARAKAHDAILY 3/1/2024

- Advertisement -