Jelajah Kasih 5.0: Andalusia taja umrah 114 asnaf

Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 kolaborasi Andalusia dan kerajaan Negeri Sembilan bermatlamat untuk membantu golongan asnaf yang ingin menunaikan umrah sekali dalam seumur hidup mereka.
- Advertisement -

SEREMBAN: Syarikat pengendali umrah, haji dan pelancongan terkenal negara, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) telah berkolaborasi dengan Kerajaan Negeri Sembilan telah menaja seramai 114 orang asnaf bagi melaksanakan Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Ida Riswana Idris berkata, program tahunan Umrah Asnaf ini merupakan salah satu dari cara pihak Andalusia berkongsi rezeki secara nyata dalam menciptakan perubahan yang bermakna kepada masyarakat, khususnya yang beragama Islam.

“Jemaah akan berlepas ke Makkah pada petang 31 Dis (hari ini) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

- Advertisement -

Menurutnya,  tujuan program tersebut adalah untuk membantu golongan asnaf yang ingin menunaikan umrah sekali dalam seumur hidup mereka.

“Pada masa yang sama mereka juga dapat menjejakkan kali ke Baitullah dan menziarahi makam Nabi Muhammad SAW yang merupakan impian bagi setiap umat Islam. 

“Sebagai sebuah syarikat yang berteraskan kepada menyantuni tetamu Allah, kami percaya bahawa keberhasilan Andalusia tidak sepatutnya hanya terukur melalui keuntungan kewangan semata-mata, tetapi juga dari kesan positif yang boleh kami ciptakan bagi masyarakat sekeliling,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 di Klana Resort, di sini, pada malam tadi.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim; Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Dato’ Md Daud Che Ngah; Pengarah Urusan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ibrahim Mat Sin; Penasihat Agama Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Ustaz Jaafar Muhammad; dan Ketua Bahagian Pendidikan Yayasan Negeri Sembilan, Aziz Jaafar Soraji. 

Md Daud (tengah) di samping Mohd Zafir (kanan) dan Ida Riswana dalam Majlis Pelancaran Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 di Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan pada 30 Dis 2023.

Sehubungan itu, Ida Riswana turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun kerana beliau merupakan salah seorang penggerak utama program ini. 

“Tidak dilupakan juga kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang terlibat dalam pencarian asnaf bagi melaksanakan Program Umrah Asnaf jelajah Kasih 5.0,” ujarnya yang menambah bahawa program kali ke-5 itu telah bermula dari tahun 2016. 

“Pada tahun 2018 dan 2019, Andalusia telah bekerjasama dengan pihak Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah program CSR NBOS – lautan biru bagi menyantuni asnaf dari seluruh Malaysia dalam setiap daerah dan mukim termasuklah asnaf dari kalangan Orang Asli, serta  saudara baharu yang telah memeluk Islam (muallaf) dan dari Sabah dan Sarawak. 

“Lanjutan daripada program yang lepas, Andalusia sekali lagi telah ,melaksanakan program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 4.0 pada tahun 2023, dan buat pertama kalinya Andalusia bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri Pahang sepenuhnya. 

“Penghujung tahun 2023, sekali lagi Andalusia melaksanakan program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 dengan kerjasama dengan Kerajaan negeri Sembilan,” kongsinya. 

Tambah beliau, melalui penerbangan yang sama pada petang ini, selain daripada asnaf Negeri Sembilan seramai 77 orang, Andalusia juga turut menaja asnaf dari Negeri Sabah seramai 7 orang, asnaf dari Kelantan seramai 15 orang, 10 orang daripada asnaf di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), 2 orang asnaf dari Melaka  dan 4 orang asnaf dari Daerah Rembau. 

“Bersama dalam kumpulan asnaf kali ini, Andalusia juga turut menaja seramai 5 orang wartawan yang akan turut serta di dalam rombongan ini bagi membuat liputan selama berada di Madinah dan Makkah. 

“Semua jemaah asnaf ini telah diberikan kursus secara singkat tetapi menepati tujuan ibadah dan mereka ditempatkan setempat untuk memudahkan pergerakan ke KLIA pada 31 Disember 2023. Mereka akan disambut semasa balik di KLIA dan dihantar ke Seremban, Negeri Sembilan,” kongsinya. 

Beliau berharap jemaah asnaf yang terpilih dapat beribadah sebaik mungkin dan dapat membawa balik pengertian dan ilmu bahawa Islam itu insah. 

Di samping itu, beliau turut menasihatkan agar semua pengiring dapat membina hubungan yang erat dan mesra panggilan kepada asnaf bonda dan ayahanda. 

“Seolah-olah, inilah ayah dan ibu kita, mereka tiada orang lain melainkan kita bersama-sama mereka sebagai anaknya semasa berada di Tanah Suci,” katanya.  HARAKAHDAILY  31/12/2023

- Advertisement -