
JAKARTA: Angka kematian akibat kebakaran di kilang nikel Indonesia meningkat pada hujung minggu kepada 18 orang setakat Selasa (26 Dis) dengan berpuluh-puluh masih dirawat di hospital.
Polis tempatan berkata, operasi di kilang itu masih digantung sementara pihak berkuasa menyiasat punca kejadian.
“Jumlah mangsa yang maut meningkat lima orang, jadi secara keseluruhan 18 orang telah meninggal dunia,” kata ketua polis, Morowali Suprianto kepada AFP.
Jurucakap polis Sulawesi Tengah, Djoko Wienartono berkata pada hari ini, ahawa mangsa termasuk lapan pekerja asing, dan polis masih menyiasat punca kebakaran. Kementerian luar China berkata empat warga China adalah antara 13 yang disahkan meninggal dunia.
Jurucakap Taman Perindustrian Morowali Indonesia di mana loji itu terletak, Dedy Kurniawan, paul menegaskan bahawa operasi akan kekal digantung semasa siasatan dilakukan.
Kemalangan itu berlaku pada pagi Sabtu (23 Dis) ketika pekerja sedang melakukan pembaikan pada relau di kilang milik PT Indonesia Tsingshan Stainless Steel (ITSS) di Pulau Sulawesi, sebuah unit syarikat Tsingshan Holding Group China.
Siasatan awal menunjukkan letupan berlaku apabila sisa sanga dari relau, yang ditutup untuk penyelenggaraan, mengalir keluar dan bersentuhan dengan bahan mudah terbakar di sekitar lokasi.
ITSS ialah penyewa di taman perindustrian itu, yang juga dimiliki majoriti oleh Tsingshan bersama rakan kongsi tempatan Bintang Delapan.
Pulau Sulawesi merupakan hab untuk pengeluaran nikel negara kaya mineral itu, logam asas yang digunakan untuk bateri kenderaan elektrik dan keluli tahan karat.
Indonesia, pengeluar nikel terbesar dunia, telah mengharamkan eksport bijih nikel yang belum diproses sambil menggalakkan pelaburan utama dalam peleburan dan pemprosesan, tetapi beberapa kemalangan maut telah melanda sektor itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Presiden Joko Widodo, sambil mengenal pasti pemprosesan nikel sebagai keutamaan untuk pembangunan ekonomi, telah menyeru untuk meningkatkan keselamatan dan meningkatkan pemantauan piawaian alam sekitar.
Pada Januari tahun ini, dua pekerja termasuk seorang warga China terbunuh di kilang peleburan nikel di taman perindustrian yang sama selepas rusuhan tercetus semasa bantahan berhubung syarat keselamatan dan gaji.
Pada bulan Jun pula, kebakaran di loji yang sama menyebabkan seorang maut dan enam lagi cedera, dalam satu lagi kejadian yang telah menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan di kemudahan yang dibiayai dan dikendalikan oleh syarikat China. – HARAKAHDAILY 26/12/2023




















