
TEHRAN: Kementerian Luar Negeri Iran telah menolak tuduhan Amerika Syarikat bahawa Tehran telah melanggar sebuah kapal tangki kimia di Lautan Hindi, ketika ketegangan meningkat di seluruh dunia berhubung ancaman terhadap perkapalan maritim.
Jurucakap kementerian itu, Nasser Kanaani menolak tuduhan itu pada sidang akhbar pada hari ini, Isnin (25 Dis), yang mana beliau menegaskan bahawa dakwaan AS menuduh dron yang dilancarkan Iran telah menghentam kapal tangki milik Jepun ketika ia belayar di lautan berhampiran India adalah palsu.
“Dakwaan Amerika Syarikat itu cuba mengalih perhatian orang ramai, dan menutup sokongan penuh kerajaan AS terhadap jenayah rejim Zionis (Israel) di Gaza,” tegasnya.
Terdahulu, Pentagon AS mendakwa bahawa serangan pada hari Sabtu (23 Dis) lalu adalah terhadap MV Chem Pluto, sebuah kapal tangki milik Jepun yang bergerak sejauh 200 batu nautika (370km) dari pantai India, lapor Al Jazeera.
Kapal tangki itu yang ‘bersekutu dengan Israel’ telah dalam perjalanan dari Arab Saudi ke India, lapor firma keselamatan maritim, Ambrey.
Di tengah-tengah serangan maritim tersebut, ia adalah yang pertama yang cuba dikaitkan oleh AS secara langsung dengan Iran, dan juga merupakan kapal pertama terbabit di luar Laut Merah.
Sebelum ini, perdagangan global telah terjejas teruk apabila pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yaman telah melancarkan serangan ke atas kapal-kapal di Laut Merah.
Houthi berkata kempen itu, menyasarkan apa yang mereka katakan sebagai kapal berkaitan Israel, bertujuan untuk memaksa Israel menghentikan pengebomannya ke atas Gaza.
AS, yang mengetuai pasukan petugas global untuk menentang ancaman Houthi, telah berulang kali menuduh Iran sebagai ‘sangat terlibat’ membantu Houthi.
Bagaimanapun, Iran menegaskan bahawa ia tidak berkoordinasi dengan Houthi dan tidak memainkan peranan dalam serangan itu.
“Penentangan (Houthi) mempunyai peralatan (perang)nya sendiri … dan bertindak mengikut keputusan dan keupayaannya sendiri,” ujar Timbalan Menteri Luar Iran, Ali Bagheri kepada agensi berita Mehr pada Sabtu (23 Dis) lepas..
“Hakikat bahawa kuasa tertentu, seperti Amerika Syarikat dan Israel, mengalami serangan daripada gerakan penentangan … tidak sepatutnya mempersoalkan realiti kekuatan penentangan di rantau ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/12/2023




















