Sejauh mana sektor E&E mampu bangunkan ekonomi?

Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan sejauh mana sektor elektrik dan elektronik (E&E) berupaya membangunkan industri tempatan.

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, produk E&E merupakan rantaian bekalan utama kepada sektor kenderaan elektrik (EV) dalam menyumbang 40 peratus daripada 80 peratus eksport Malaysia dalam sektor pembuatan.

- Advertisement -

Menurutnya, Malaysia berjaya menjadi destinasi terbaik bagi menarik minat pelabur luar untuk melabur dalam industri EV ini.

“Soalan saya sejauh manakah sektor E&E berupaya membangunkan industri  (ekonomi) tempatan dalam konteks peluang pekerjaan kepada rakyat terutama sekali golongan belia dan penganggur,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi jawab lisan, di Dewan Negara, di sini, hari ini. 

Dalam jawapannya, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong menganggap pertanyaan yang dikemukakan Wan Martina itu sebagai  soalan am untuk sektor EV dan E&E.

Beliau menyatakan bahawa sektor E&E terutamanya semi konduktor yang sebenarnya memerlukan rangkaian atau ekosistem sambil menambah bahawa  Pulau Pinang dan Kulim merupakan ekosistem utama untuk semi konduktor.

“Malaysia menyumbang tujuh peratus kepada seluruh dunia dari segi pembuatan semi konduktor. 

“EV adalah dari gabungan dua sektor semi konduktor bersama automotif, dan Malaysia adalah salah satu negera yang ada kekuatan kedua-dua sektor.

“Sekarang ini, peluang untuk Malaysia supaya membangunkan sektor EV dan juga memberi lebih banyak suntikan bagi sektor semi konduktor,” katanya.  HARAKAHDAILY 15/12/2023

- Advertisement -