
KUALA LUMPUR: Rombakan kabinet kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang baru setahun lalu ditubuhkan menunjukkan kegopohan dan keterdesakan, selain menggambarkan kerapuhan dan kegagalan kerajaan PH-BN itu.
Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin dalam satu kenyataan berkata, rombakan kabinet yang berlaku tiada sebarang reformasi signifikan, malah hanya sekadar kitar semula pemimpin-pemimpin PH pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tempoh hari.
“Perubahan posisi untuk beberapa individu juga membuktikan kerajaan PH-BN gagal membentuk Jemaah Menteri yang kompeten berikutan ketandusan pemimpin yang berkaliber dan berprestasi.
“Rombakan ini tiada implikasi yang signifikan malah lebih membarahkan lagi keadaan, Menteri kontroversi dikekalkan dalam kabinet seperti Saifuddin Nasution, Tiong King Sing dan Fahmi Fadzil.
“Selain itu, ada yang hanya dipindahkan ke kementerian lain seperti Dr Zaliha Mustafa dan Lim Hui Ying,” katanya.
Menurut beliau, mengekalkan Dato’ Seri Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan menjelaskan kepada rakyat akan retorik reformasi yang sering dilaungkan.
“Yang pasti, individu yang gilakan kuasa terus menguasai tampuk pentadbiran negara,” tegas Muhammad Hanif.
Tambah beliau, saiz kabinet yang semakin bertambah dari 28 ke 31 ahli dan pertambahan bilangan Menteri dan Timbalan Menteri dari 55 ke 60 orang, sekali lagi membuktikan kepalsuan perjuangan PH-BN untuk melawan pembaziran dan dasar penjimatan yang dibawa oleh Perdana Menteri sewaktu berada di kerusi pembangkang suatu ketika dahulu.
“Keterdesakan Perdana Menteri dan tekanan daripada DAP tampak jelas apabila timbalan Menteri Pendidikan yang gagal dan lemah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan, sedangkan Lim Hui Ying hanya berkelulusan seni, bukannya ekonomi.
“Memecahkan kementerian sedia ada dengan melantik Menteri daripada DAP membawa mesej jelas yang DAP mula memperkukuhkan kedudukan mereka dalam kabinet.
“Menteri Digital dan Timbalan Menteri Komunikasi juga daripada DAP menggambarkan betapa seriusnya DAP ingin menguasai alat propaganda kerajaan,” hujahnya lagi.
Beliau juga menyatakan bahawa percaturan yang dilakukan oleh Perdana Menteri dengan meletakkan Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan (atau Tok Mat) di Kementerian Luar dilihat sebagai usaha menyekat kemaraan Tok Mat yang dilihat menggugat Presiden Umno akan datang.
“Satu tindakan yang tidak menguntungkan dan sengaja dicipta untuk melemahkan Umno kerana Timbalan Presiden Umno itu akan disibukkan dengan hal ehwal luar negara berbanding kepentingan di peringkat nasional.
“Rombakan kabinet pasca setahun pemerintahan PMX ini sekali lagi dilihat hanyalah proses kitar semula bekas menteri-menteri PH pasca PRU-14 yang tidak mempunyai pencapaian yang memberangsangkan seperti Dr Dzulkefly Ahmad dan Gobind Singh Deo.
“Tekanan dari DAP dan keterpaksaan PMX tidak menguntungkan rakyat dan negara. Hanya masa menjadi penentu kepada kepincangan dan mudarat yang lebih besar kelak,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/12/2023




















