Ambil langkah berjaga-jaga, elak penularan Covid-19

Mansor Zakaria
- Advertisement -

ALOR SETAR: Rakyat Kedah diingatkan agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah pencegahan ekoran kes Covid-19 di negeri ini didapati mencatatkan peningkatan minggu ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Majer (B) Mansor Zakaria berkata, Kedah mencatatkan sebanyak 595 kes, meningkat sebanyak 78.1 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Majoriti kes yang diterima adalah melalui saringan bergejala. Kebanyakan kes bergejala ringan dan menjalankan pengasingan di rumah masing-masing,” jelasnya pada kenyataan, hari ini.

Ujar beliau lagi sunggupun situasi terkini masih terkawal tetapi tidak mustahil akan berlaku peningkatan kes menjelang cuti sekolah dan perayaan Krismas.

Justeru tegasnya orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan dari semasa ke semasa.

“Kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka apabila berada di tempat sesak, sempit dan tertutup.

“Segera lakukan pemeriksaan sekiranya bergejala dan laporkan keputusan ujian ke aplikasi MySejahtera (sekiranya positif),” tambah beliau.

Dalam pada itu beliau menasihatkan kepada individu yang didapati positif Covid-19, segera mendapatkan rawatan awal di klinik kesihatan berhampiran.

Beliau turut mensyorkan kepada golongan yang berisiko tinggi mengambil dos primer vaksin dan dos penggalak vaksin Covid-19  bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan, morbiditi dan kematian.

Sebarang maklumat terkini berkenaan Covid-19 boleh didapati dengan melayari laman web KKMNOW di https://data.moh.gov.my.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah akan terus memantau perkembangan situasi Covid-19 dalam dan luar negara dari semasa ke semasa. – HRAKAHDAILY 13/12/2023

- Advertisement -