
KUALA LUMPUR: Apakah jaminan kerajaan tentang hasrat kementerian dalam meneruskan silibus Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) agar ia tidak bercanggah dengan akidah Islam di negara ini?
Senator Abdul Nasir Idris sehubungan itu meminta kementerian menyatakan usaha bagi memastikan tiada unsur-unsur budaya luar terutamanya berkaitan silang budaya yang tidak sesuai di Malaysia dan bercanggah dengan akidah umat Islam.
“Bercakap tentang pembelajaran pendidikan bahasa Inggeris ini dengan pelaksanaan silibus yang disebut tadi ini CEFR, adakah kemungkinan jurang pencapaian ataupun kebolehan pelajar-pelajar ini di luar bandar dan di bandar itu makin melebar?
“Justeru, apakah langkah-langkah mekanisme kerajaan untuk menangani isu tersebut?” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying dalam jawapannya berkata, kementerian beliau mengakui terdapat jurang antara bandar dan luar bandar dalam pelaksanaan silibus CEFR.
“Semua guru telah dilatih dengan semua silibus yang sama di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Jadi kami akan memantau dari semasa ke semasa tentang pencapaian setiap mata pelajaran di semua sekolah tidak kira di bandar atau luar bandar.
“Jika kita dapati ada jurang yang besar.. kementerian akan membuat satu program yang sesuai untuk merapatkan jurang ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/12/2023




















