Penyerang tembak orang ramai di Universiti Nevada

Polis Las Vegas di lokasi kejadian tembakan di Kampus Universiti Nevada di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 6 Niv 2023. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

LAS VEGAS: Seorang penembak melepaskan tembakan peluru bertalu-talu ke arah orang ramai di dua bangunan kampus Universiti Nevada, Las Vegas (UNLV) ketika waktu makan tengah hari.

Susulan kejadian yang menyebabkan keadaan panik dalam kalangan pelajar yang berlari ketakutan menyelamatkan diri masing-masing itu, Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas mengesahkan tiga individu maut dan seorang lagi berada dalam keadaan kritikal.

- Advertisement -

Pihak UNLV pula melalui platform X mengesahkan bahawa sejurus selepas tengah hari waktu tempatan, suspek telah menyerang Dewan Frank dan Estella Beam, sebelum 20 minit kemudian terdapat laporan tambahan tentang tembakan yang dilepaskan ke arah pejabat Kesatuan Pelajar universiti berkenaan, lapor USA Today.

“Ini bukan ujian. LARI-BERSEMBUNYI-BERTAHAN,” tulis mesej pihak UNLV di X.

Sementara, pihak polis pula dalam catatan berasingan di X berkata bahawa terdapat banyak mangsa, dan menggesa orang ramai mengelak kawasan itu dan berkata, lebih banyak maklumat akan dikeluarkan tidak lama lagi sebelum mengesahkan seorang suspek maut tidak lama kemudian.

“Suspek telah dikesan dan sudah meninggal dunia,” kata Sheriff di Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas, Kevin McMahill pada jam 12.37 tengah hari waktu tempatan.

Tambahnya, kesemua mangsa telah dibawa ke hospital tempatan dan pihaknya telah menubuhkan pusat penyatuan semula dan mengarahkan orang ramai mencari individu yang mempunyai pertalian atau kenalan mereka di universiti berkenaan.

Sekumpulan pelajar Universiti Nevada dikawal polis untuk keluar dari lokasi kejadian tembakan.

“Pegawai polis pergi dari  satu unit demi satu bangunan demi bangunan universiti… untuk memastikan tiada lagi sebarang mangsa tambahan,” katanya.

Vincent Perez, seorang profesor di sekolah itu, pula memberitahu MSNBC melalui telefon bahawa dia telah mendengar bunyi banyak tembakan sebelum berlindung di kampus.

“Saya akan katakan hanya tujuh, lapan tembakan, satu demi satu, kuat dan sangat kuat,” katanya.

“Sebaik sahaja mendengar bunyi tembakan, kami berlari kembali ke dalam dan kami menyedari ia adalah tembakan sebenar, dan terdapat penembak di kampus,” ujarnya.

Sehubungan itu, universiti berkenaan lapor USA Today, telah mengumumkan bahawa kampus dan semua institusi Pengajian Tinggi Sistem Nevada di selatan Nevada ditutup sepanjang hari, sambil menggesa orang ramai untuk kekal berlindung ketika polis memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat.

Tiga anggota FBI bergegas ke lokasi kejadian di Universiti Nevada.

“Semua unit di kampus ditutup atas sebab keselamatan,” kata naib presiden perkhidmatan keselamatan awam dan pengarah perkhidmatan polis universiti di UNLV, Adam Garcia.

Kejadian tembakan terbaharu itu berlaku di bandar yang menjadi lokasi salah satu pembunuhan beramai-ramai terburuk dalam sejarah AS, pada 1 Okt 2017 – penembakan besar-besaran di Festival Muzik Route 91 Harvest di Las Vegas, yang menyaksikan 58 orang terbunuh dan 800 yang lain cedera.

Dalam kejadian berdarah selama 11 minit, Stephen Paddock, 64, Paddock menembak dari tingkat 32 Hotel Teluk Mandalay ke arah 22,000 orang yang membanjiri festival muzik itu, sebelum meninggal dunia dengan membunuh dirinya sendiri.

Sementara menurut Arkib Keganasan Senjata sehingga 6 Nov 2023, secara keseluruhan sudah berlaku kira-kira 630 tembakan besar-besaran di seluruh AS sepanjang tahun ini, berbanding 646 kejadian pada 2022.

Takrifan ‘tembakan besar-besaran’ merujuk kepada ‘sekurang-kurangnya empat mangsa ditembak, sama ada cedera atau terbunuh, tidak termasuk penembak’.   HARAKAHDAILY 7/12/2023

- Advertisement -