
KUALA LUMPUR: Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) meminta penjelasan kerajaan berkaitan kuasa lantikan Tribunal Penyiasatan oleh Perdana Menteri.
Beliau berkata, hal tersebut adalah kerana Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) merupakan sebuah badan yang bebas.
“Saya ingin menyentuh pindaan yang memasukkan seksyen baharu iaitu seksyen 10B berkaitan Tribunal Penyiasatan, pada subseksyen (1) dinyatakan anggota tribunal dilantik oleh Perdana Menteri.
“Soalan saya, mengapakah seksyen ini memberikan kuasa lantikan kepada Perdana Menteri? Sedangkan kebanyakan seksyen lain iaitu seksyen 5, 6, 8, 9, 11 memperuntukan kuasa lantikan dan perlucutan kepada Yang Di-Pertuan Agong.
“Kita tahu SUHAKAM adalah sebuah badan bebas, oleh itu lantikan oleh Perdana Menteri dibimbangi mempunyai unsur-unsur kecenderungan kepada pihak tertentu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (pindaan) 2023, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau juga menyentuh mengenai jawatan kuasa panel syariah bagi membantu institusi itu apabila berlaku pertembungan prinsip hak asasi manusia dan agama.
“Semasa perbahasan laporan SUHAKAM pada pertengahan tahun ini, Ahli Parlimen Bagan Serai ada mencadangkan agar diwujudkan sebuah jawatankuasa panel syariah bagi membantu SUHAKAM berkaitan perkara yang melibatkan antara prinsip hak asasi manusia dan agama.
“Ini bertepatan dengan lima prinsip dasar dalam Islam di mana salah satunya ialah Hifzuddin iaitu memelihara agama.
“Saya mohon respons kementerian berkenaan cadangan tersebut sebagai langkah ke hadapan bagi akta 597 ini,” katanya.




















