Faktor Dr Sam tarikan rakyat pertahan kerajaan PAS-PN

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Faktor elemen politik matang dan sejahtera yang dibawa kerajaan PAS Terengganu pada penggal lalu menjadi tarikan rakyat memberi sokongan padu pada pilihan raya lepas.

- Advertisement -

Anggota Exco kerajaan negeri Ustaz Ariffin Deraman berkata, faktor keperibadian Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang bersifat sederhana turut menjadi tarikan utama.

Katanya, Menteri Besar seorang yang tidak kasar dan lembut orangnya ketika berdepan dengan rakyat.

“Pengalaman saya sebagai seorang anggota Exco, beliau (Dr Samsuri) sangat disegani oleh rakan-rakan Exco dan sangat disegani oleh pegawai-pegawai kerajaan.

“Tiada saya dengar rungutan, jadi faktor itu pada saya menjadi nilai tambah yang sangat besar.

“Sebab itulah Menteri Besar dicalonkan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman. Kalau hendak dibanding dengan calon Umno walaupun saya tidak perkecilkan calon mereka,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya calon diketengahkan Umno, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bukan pemimpin politik.

Kata beliau juga biarpun Kemaman pernah dikenali sebagai kubu Umno tradisi sebelum ini, namun situasi yang berlaku sekarang tidak lagi begitu.

“Apabila diambil kira PAS menang di parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umjm (PRU) lepas sehingga lebih 27,000 undi, itu satu perkembangan yang besar.

“Lagi pun kita melawan Pengerusi Umno Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said di Kemaman bukan sesuatu yang mudah,” ujar beliau.

Ariffin yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu berkata, kejayaan pada PRU dan PRN lepas tidak dapat dinafikan kerana gelombang rakyat yang berlaku di seluruh negara.

Katanya penolakan rakyat terhadap Umno dan juga PH sangat tinggi berlaku sehingga ia memberi kesan kepada Terengganu.

Menurutnya kemenangan sehingga 32-0 di peringkat Dun dan 8-0 di parlimen pada pilihan raya lepas menggambarkan penolakan rakyat terhadap parti terbabit di Terengganu.

“Saya sendiri sebagai Pengarah Pilihan Raya negeri ada mengetengahkan banner masa kempen pilihan raya ketika itu bagi mencapai target 32-0 dan 8-0. Kita uar-uarkan perkara ini.

“Pencapaian PAS dan PN di Terengganu pada PRN dan PRU lepas mengatasi Kelantan, Kedah dan negeri-negeri lain,” katanya.

Begitu juga katanya pada PRK Sabtu ini tidak mustahil PAS akan dapat undi yang lebih besar. – HARAKAHDAILY 29/11/2023

- Advertisement -