Reformasi cukai buat rakyat pada tahun hadapan

Arman Azha Abu Hanifah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa penasihat kepada Menteri Kewangan telah ditubuhkan pada 7 Februari 2023.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penubuhan jawatankuasa itu adalah bagi mengkaji sistem percukaian sedia ada dan mengemukakan cadangan untuk penambahbaikan, memperbaharui dasar dan sistem pentadbiran percukaian negara. 

- Advertisement -

Beliau berkata, sesi libat urus turut dijalankan secara berterusan bersama pihak industri, pengamal percukaian, dewan perniagaan, ahli akademik untuk meneliti pelbagai cadangan reformasi cukai yang diterima oleh Kementerian Kewangan. 

Tambah beliau lagi, dalam Belanjawan 2024 telah menggariskan beberapa inisiatif utama yang akan dilaksanakan untuk meluaskan asas hasil negara. 

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Senator, Dato’ Dr. Arman Azha Abu Hanifah yang bertanyakan mengenai langkah reformasi percukaian yang akan diperkenalkan kepada rakyat pada tahun hadapan di Dewan Negara, di sini, hari ini.  

Justeru Ahmad Maslan berkata, pihak kerajaan akan melaksanakan cukai keuntungan modal selaras dengan amalan terbaik percukaian antarabangsa.

“Pelaksanaan percukaian modal adalah ke atas pelupusan saham yang tidak tersenarai dalam syarikat tempatan pada kada 10 peratus bermula 1 Mac 2024 dan hanya melibatkan pembayar cukai syarikat.

“Pendapatan cukai ini dianggarkan berjumlah RM800 juta setahun,” jelasnya. 

Tambah beliau, skop perkhidmatan bercukai di bawah akta perkhidmatan 2018 akan diperluaskan bagi meliputi perkhidmatan baharu seperti pusat perkhidmatan karaoke, pembrokaan, pemberi jaminan selain kewangan dan logistik.

Selain itu, kadar cukai perkhidmatan akan dinaikkan daripada 6 peratus kepada 8 peratus  ke atas semua perkhidmatan bercukai kecuali perkhidmatan makanan dan minuman, telekomunikasi, penyediaan ruang parkir kenderaan.

“Pendapatan cukai ini dianggarkan RM 3.45 bilion tambahan pendapatan kerajaan bagi tahun 2024,” ujarnya. 

Justeru, kerajaan juga akan menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan cukai barangan tertentu yang bernilai tinggi bermula dari 5 peratus sehingga 10 peratus.

“Pengenalan cukai ini bertujuan untuk mengenakan cukai kepada golongan kaya yang berkemampuan membeli barangan yang bernilai tinggi. 

“Cukai ini tidak akan dikenakan ke atas pelancong bagi maksud menggalakan mereka memasuki negara ini,” tambah beliau.

Di samping itu, Ahmad Maslan turut memberitahu, kadar duti eksais bagi minuman bergula turut dinaikan daripada RM0.40 sen kepada RM0.50 seliter bagi terus menyokong strategi menjaga dan meningkatkan kesihatan rakyat. 

“Pada masa yang sama kerajaan juga mengenakan duti eksais tembakau kunyah bagi tujuan menyamaratakan layanan cukai terhadap produk tembakau. 

“Bermula 1 Jan 2025, kerajaan akan melaksanakan global minimum tax (GMT) iaitu penggunaan kadar cukai efektif di peringkat global pada kadar 15 peratus. 

“Kerajaan pada hari ini, sentiasa komited dan proaktif dalam mengekang ketirisan hasil cukai dengan menangani masalah kegiatan ekonomi bayangan. Antaranya melalui dua inisiatif iaitu melalui pengenalan kaedah nombor pengenalan cukai (TIN) dan E-Invois,” katanya.  HARAKAHDAILY 28/11/2023

- Advertisement -