
BRUSSELS: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken akan kembali melawat Israel dan Tebing Barat, serta ke Emiriah Arab Bersatu pada minggu ini.
Jabatan Negara AS pada Isnin berkata, lawatan itu adalah bagi hasrat Washington untuk mendesak lebih banyak bantuan kemanusiaan ke Gaza dan bantuan menjamin pembebasan semua tawanan yang ditawan oleh Hamas.
“Blinken akan ke Belgium, Macedonia Utara, Israel, Tebing Barat, dan UAE dari Isnin hingga Sabtu minggu ini,” ujar jabatan itu dalam satu kenyataan, lapor Reuters.
“Di Israel dan Tebing Barat, Setiausaha Blinken akan membincangkan hak Israel untuk mempertahankan diri selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serta usaha berterusan untuk mendapatkan pembebasan tawanan yang masih ada, melindungi kehidupan awam semasa operasi Israel di Gaza, dan mempercepatkan bantuan kemanusiaan kepada orang awam di Gaza,” tambah jabatan itu.
“Blinken akan membincangkan apa yang Washington mahu lihat di Gaza,” kata seorang pegawai Jabatan Negara sebelum ini.
Blinken juga dijadualkan akan membincangkan keperluan untuk sebuah negara Palestin yang merdeka serta menghadiri sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) – Persidangan Ke-28 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim (COP28) di Dubai.
Ia akan menjadi lawatan ketiganya ke wilayah itu sejak 7 Oktober, apabila pejuang Hamas menyerang Israel, menyebabkan lebih 1,200 orang dan menjadikan 240 sebagai tawanan; dan sebagai tindak balas, Israel telah mengebom Semenanjung Gaza, kawasan pinggir pantai berpenduduk padat yang menempatkan 2.3 juta orang, dan melancarkan serangan darat di utara negeri itu, membunuh lebih 15,000 rakyat Palestin.
Beberapa tawanan Hamas telah dibebaskan dalam beberapa hari kebelakangan ini sebagai pertukaran untuk rakyat Palestin yang dipenjara oleh Israel dalam perjanjian yang menyaksikan oleh Qatar dan Mesir sebagai ‘orang tengah’ yang dipersetujui oleh Israel, Hamas dan AS.
Sejak serangan mengejutkan yang memulakan salah satu babak paling berdarah dalam konflik Israel-Palestin selama beberapa dekad itu, Blinken telah menjalankan diplomasi kepentingan dengan pemimpin Israel dan Arab untuk membantu memastikan konflik tidak meluas, tawanan dibebaskan dan bantuan dihantar ke Semenanjung Gaza, di mana bencana kemanusiaan telah berlaku.
Minggu ini, Blinken akan bercakap tentang masa depan Gaza dan keperluan untuk penyelesaian politik kekal untuk konflik yang telah lama wujud.,
Blinken menolak pendudukan Israel di Gaza, pemindahan kekal penduduknya dan pengurangan wilayahnya, walaupun rancangan jelas masih belum muncul dalam perbincangan dengan negara Arab, Israel dan pemimpin Palestin.
“Diplomat tertinggi AS itu juga akan membincangkan prinsip yang digariskannya di Tokyo pada 8 Nov lalu, (dan) langkah-langkah nyata untuk meneruskan penciptaan negara Palestin masa depan” kata Jabatan Negara.
Blinken mendarat pada petang Isnin di Brussels, di mana beliau menghadiri sidang kemuncak menteri luar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada Selasa.
Beliau juga akan menghadiri mesyuarat Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah yang dijadualkan berlangsung pada Rabu di Skopje. – HARAKAHDAILY 28/11/2023




















