
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia menanti-nanti dan menaruh harapan untuk melihat pentadbiran dan pengurusan kewangan lebih telus dengan tatakelola yang cekap, serta tiada ketirisan dalam menghadapi cabaran ekonomi pada masa kini.
Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff berkata, penantian dan harapan rakyat itu sudah semestinya terhadap perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (RUU KATF 2023).
RUU berkenaan merupakan suatu Akta untuk membuat peruntukan mengenai tanggungjawab, kebertanggungjawaban, tadbir urus dan ketelusan pihak kerajaan dalam menguruskan kewangan awam dan risiko fiskal khususnya berhubung dengan hasil, perbelanjaan, pinjaman dan hutang; melaporkan dokumen belanjawan tahunan dan penerbitan dokumen lain; dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara lain yang berkaitan dengannya.
Sehubungan itu, Wan Martina mengucapkan tahniah kepada kementerian terbabit yang telah berjaya membawa RUU KATF 2023 ke parlimen dan telah diluluskan di Dewan Rakyat.
“Objektif dengan meletakkan kebertanggungjawaban kerajaan dalam tadbir urus ini diharap menjadi realiti yang akhirnya boleh menguntungkan rakyat.
“Akta ini telah menyenaraikan tanggungjawab dan peranan menteri, yang sememangnya menjadi tanggungjawab sebagai seorang menteri kewangan.
“Ia adalah satu tugas yang berat dan memerlukan komitmen yang tinggi,” katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Menurutnya, perkara ini merupakan harapan rakyat supaya kerajaan dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan berdisiplin dan mematuhi akta seperti yang termaktub.
Ketika sesi perbahasan, beliau turut mempersoalkan apa dan bagaimanakah mekanisme pemantauan yang akan dilaksanakan nanti apabila akta tersebut diluluskan dan dikuatkuasa untuk memastikan tatakelola pentadbiran dan pengurusan benar-benar telus dan cekap?
“Adakah ditubuhkan satu badan khas yang akan memantau?
“Apakah pula plan perancangan dan plan tindakan kerajaan untuk mengatasi ketirisan yang berlaku, pembaziran dan penyelewengan serta kelemahan tatakelola dalam pengurusan wang awam yang akhirnya merugikan negara?” soal beliau.
Wan Martina turut memberitahu bahawa merujuk kepada bahagian V Jawatan kuasa Dasar Fiskal, Penubuhan Jawatankuasa perkara 28 dan Anggota Jawatankuasa perkara 29, jawatankuasa ini di pengerusikan oleh Perdana Menteri; manakala Menteri Kewangan pula adalah ahli jawatankuasa.
“Namun begitu, bagaimanakah sistem pemantauan akan dilaksanakan apabila dua jawatan ini ditanggung oleh orang yang sama?” soalnya lagi.
Beliau turut mempersoalkan apakah justifikasi untuk melantik tidak lebih daripada dua orang yang mempunyai pengalaman dalam fiskal dan kewangan awam?
Maka, Wan Martina berpandangan bahawa negara ini memerlukan lebih ramai pakar yang berkaitan bagi meningkatkan kecekapan tata kelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam.
“Perkara ini sangat penting kerana ia menjadi harapan rakyat apabila akta ini diluluskan dan dikuatkuasakan, kerajaan dapat melaksanakan tanggung jawab dengan lebih telus, cekap dan adil kepada semua rakyat.
“Terutamanya kepada rakyat di negeri yang masih ketinggalan seperti Kelantan, Perlis serta Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Tambah beliau, Kelantan memberi harapan yang tinggi kepada akta ini supaya peruntukan yang adil dapat diberikan kepada rakya negeri itu.
“Kelantan berharap supaya kadar kemiskinan di negeri ini dapat dikurangkan dan akhirnya dapat dinoktahkan dalam masa terdekat seperti yang telah diucapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2023




















