‘Jawatankuasa pantau guru tak sokong kerajaan, idea lapuk’

Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Desakan supaya kerajaan mewujudkan sebuah jawatankuasa untuk memantau guru yang tidak menyokong kerajaan bertentangan dengan tema kerajaan iaitu Malaysia Madani.

Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, guru berperanan untuk memberi pendidikan dan ilmu pengetahuan pelajar tidak sewajarnya dijadikan tempat untuk meraih sokongan politik.

- Advertisement -

Beliau berkata, cadangan yang diutarakan oleh perwakilan Johor sempena Kongress PKR di Putrajaya International Convention Centre (PICC) baru-baru ini sebagai idea lapuk.

“Dan Kongres PKR minggu lepas, ada cadangan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan jawatankuasa pemantau untuk memantau guru-guru yang tidak sokong kerajaan.

“Ini idea politik zaman TV (televisyen) hitam putih, ini zaman surat khabar lama-lama yang dianggap tidak bertamadun dan laungan Malaysia Madani semuanya ke lau belaka,” katanya.

Berucap pada sesi perbahasan peringkat Jawatankuasa KPM di Dewan Rakyat, di sini, hari ini,, Naib Presiden PAS itu turut meminta penjelasan mengenai surat kebenaran menggunakan sekolah kempen pilihan raya.

Beliau menuntut penjelasan kerajaan mengenai surat yang ular baru-baru ini, apakah perkara itu hanya terpakai kepada pihak kerajaan sahaja ataupun termasuk juga pembangkang.

Menurutnya, kerajaan perlu perjelaskan lagi konsep Madani yang menjamin keadilan kepada semua pihak dan komitmen melaksanakan reform, bukan membawa masuk budaya Badawi.

“Kalau nak bagi orang politik, pembangkang pun tidak boleh masuk kerajaan pun tidak boleh masuk, politik ada tempat yang sesuai untuk kita nak cakap, bukan di sekolah.

“Kena adil baru sesuai dengan tema Madani sepatutnya budaya badawi jangan dibawa dalam sistem pendidikan, jadi macam mana kita nak bercakap soal reform dan soal madani ini,” katanya.  HARAKAHDAILY 27/11/2023

- Advertisement -