
GENEVA: Angka kematian pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza telah meningkat kepada kira-kira 15,000 mangsa.
Laporan terkini yang dikeluarkan oleh Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med berkata bahawa 14,710 rakyat Palestin telah terbunuh setakat ini, termasuk 3,300 yang masih hilang dan terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang musnah, yang mempunyai peluang kecil untuk ditemui hidup.
Antara mangsa kekejaman Zionis Israel yang dilaporkan ialah 6,220 kanak-kanak dan 3,412 wanita, manakala 1,680 kanak-kanak lain dilaporkan masih hilang; sementara jumlah penduduk Gaza yang mengalami kecederaan mencecah 32,314.
Pertubuhan hak asasi manusia yang berpangkalan di Geneva itu juga berkata 200 kakitangan kesihatan, 20 anggota pertahanan awam, dan 49 wartawan telah terbunuh dalam serangan tidak berperikemanusiaan Israel itu.
Anggaran Euro-Med juga menunjukkan bahawa masih terdapat lebih 1.65 juta penduduk kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza, dengan kira-kira separuh daripada mereka tinggal di kemudahan yang dikendalikan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam keadaan yang tidak terurus dan bila-bila masa sahaja dibom oleh Zionis.
Menurut Euro-Med Monitor lagi, 55,200 unit rumah telah musnah sepenuhnya oleh serangan Israel, manakala 160,700 yang lain telah rosak sebahagiannya.
Seratus lima belas kemudahan kesihatan, serta 221 sekolah, 821 kemudahan industri, 177 pejabat akhbar, 68 masjid, dan 3 gereja, turut menjadi sasaran Zionis laknatullah.
Sehubungan itu, Euro-Med Monitor memperbaharui gesaannya kepada semua negara di seluruh dunia untuk mengambil tindakan tegas untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap penduduk Semenanjung Gaza, dengan menyebut kewajipan undang-undang mereka untuk menghentikan jenayah ngeri terhadap kemanusiaan ini.
Kumpulan hak asasi manusia itu juga mengesahkan rayuannya untuk semua organisasi antarabangsa yang berkaitan, seperti Pejabat Pencegahan Genosid dan Pejabat Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa, untuk melancarkan siasatan yang diperlukan dengan segera, dan menuntut langkah pencegahan yang perlu dilaksanakan segera untuk melindungi orang awam Palestin daripada tindakan pembunuhan beramai-ramai itu. –HARAKAHDAILY 14/11/2023




















