
BOGOTA, Colombia: Colombia mengesa agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka sepenuhnya
Presiden Colombia, Gustavo Petro pada Isnin (13 Nov) berkata bahawa Colombia akan mencadangkan kepada PBB mengenai perkara tersebut.
Dalam catatan beliau di platform X yang disertai dengan video yang menunjukkan akibat serangan tentera Israel di Hospital Al-Shifa di Gaza, Petro menyatakan, “(Ini) Pembunuhan beramai-ramai yang dilepaskan oleh (Perdana Menteri Israel Benjamin) Netanyahu di hospital Al Shifa di Gaza. Colombia akan mengemukakan cadangan kepada PBB supaya Palestin diterima sebagai negara merdeka sepenuhnya.”
Petro juga mengisytiharkan bahawa Bogota akan menghentikan pembelian senjata dari negara yang mengundi menentang atau mengelak daripada resolusi Amerika Syarikat yang sebelum ini menggesa gencatan senjata di Gaza, lapor Anadolu Agency.
Ini bermakna Colombia tidak akan membeli senjata dari negara seperti Amerika Syarikat, Perancis dan Great Britain, tiga ahli tetap yang mengundi menentang, serta Jepun. Ia juga tidak akan membeli senjata dari negara-negara berkecuali dalam isu berkenaan terdiri daripadsa Albania, Brazil, Ecuador, Ghana, Malta dan Switzerland.
“Negara demokratik dan progresif mesti berjuang untuk memelihara undang-undang kemanusiaan antarabangsa bagi mengelakkan kebiadaban daripada menular di dunia,” tegasnya.
Petro juga menerbitkan keputusan undian negara-negara di PBB untuk mengisytiharkan penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki.
“Lihat di sebelah mana Colombia berada, lihat jika majoriti dunia tidak mencari keadilan, lihat jika Colombia tidak mengiringi perjuangan itu,” katanya.
Terdahulu, Petro telah mengumumkan pada Jumaat (10 Nov) bahawa Colombia akan secara aktif menyertai aduan yang difailkan di hadapan Mahkamah Jenayah Antarabangsa terhadap Netanyahu, atas dakwaan jenayah perang, yang akan dikemukakan oleh Algeria.
Beliau berkata bahawa Menteri Luarnya, Alvaro Leyva akan bertemu dengan pendakwa Mahkamah, Karim Khan, untuk menangani isu ini.
Petro sebelum telah mengutuk keras serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza selepas Hamas menyerang hendap wilayah Israel pada 7 Okt lalu.
Ketika serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza memasuki hari ke-38, data terkini pihak berkuasa Gaza menunjukkan sekurang-kurangnya 11,180 rakyat Palestin telah terkorban, termasuk lebih 7,700 kanak-kanak dan wanita, dan lebih 28,200 yang lain mengalami kecederaan.
Beribu-ribu bangunan, termasuk hospital, masjid, dan gereja, juga telah rosak atau musnah dalam serangan udara dan darat yang tidak henti-henti Israel ke atas kawasan yang dikepung sejak bulan Okt lalu. – HARAKAHDAILY 14/11/2023




















