
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji semula terma-terma yang terkandung dalam Triti Pandemik Perjanjian Konvensyen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO CA+) dan pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005) yang telah ditandatangani, yang mana ia akan berkuatkuasa selepas 30 Nov ini.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa bekata demikian susulan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menuntut pihak kerajaan turut membantah WHO CA+, pindaan IHR 2005 kerana dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.
“Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, Malaysia harus tegas dan wajib menolak pindaan IHR 2015 sebelum 1 Disember depan iaitu tarikh akhir bantahan supaya negara tidak dijajah anasir luar.
“Beliau berkata demikian pada sidang media yang telah berlangsung pada 26 September lalu, selepas upacara penyerahan memorandum bantahan terhadap WHO CA+ dan pindaan IHR 2005 kepada Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
“Sekiranya usaha itu gagal, WHO boleh mengambilalih pemerintahan sekali gus mengetepikan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan kerajaan termasuk dalam membuat keputusan berkaitan pengisytiharan pandemik serta darurat,” jelasnya.
Mohd Zai turut memberitahu, adalah penting bagi kerajaan mengkaji semula terma-terma yang terkandung dalam IHR yang telah ditandatangani, dan sekiranya berlaku unsur campurtangan kuasa asing dalam menentukan sesuatu keputusan kerajaan, maka adalah wajar bagi kerajaan menolak dan keluar daripada perjanjian di atas.
Tambah beliau lagi, pihak kerajaan disyorkan agar menubuhkan satu tribunal khas rakyat yang mewakili semua pihak dan pemegang taruh bagi mengkaji dan memberikan ulasan yang jelas dan tepat berhubung baik dan buruk negara Malaysia yang mana ianya perlu atau tidak bersama-sama bersetuju menandatangani IHR.
Namun begitu, katanya lagi kepada HarakahDaily, terdapat beberapa kegusaran daripada pelbagai pihak termasuk rakyat Malaysia sendiri iaitu mengenai terma yang terkandung di dalam IHR dan beberapa siri bantahan daripada badan bukan kerajaan (NGO) agar Malaysia tidak menandatangani perjanjian tersebut.
“Antara perkara penting yang dikhuatiri adalah soal memberi kuasa kepada badan asing iatu WHO untuk menjustifikasikan soal pandemik dan tahap kesihatan sesebuah negara sehingga membolehkan berlakunya campurtangan dalam pentadbiran dan pengurusan risiko kesihatan.
“Sekiranya ini berlaku ia akan melemahkan dan seterusnya boleh menyebabkan camputangan pihak asing dalam sesebuah negara yang mempunyai kadaulatan yang tersendiri,” katanya.




















