
KUALA LUMPUR: Pengerusi Muslim Care Malaysia – Palestine, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar yang cedera akibat serangan bom tentera Zionis Israel tetap bertugas mengedarkan bantuan kepada penduduk Gaza.
Susulan kediaman beliau di Gaza dibedil Israel pada malam tadi (6 Okt), Abu Ayesh dan keluarganya terselamat, dan beliau yang mengalami kecederaan di bahagian dahinya telah dirawat di hospital.
“Saya okey, kami okey. Jangan risau. Beberapa jam selepas ini, saya akan keluar edarkan bantuan dari anda (rakyat Malaysia),” katanya dalam hantaran Facebook Muslim Care Malaysia (MCM).

Antara ahli keluarganya yang terselamat ialah anak saudaranya, Imad An-Najar yang berjaya keluar dari celahan runtuhan rumahnya sambil membawa Al-Quran bersamanya.
Terdahulu, pada sebelah pagi Selasa (7 Okt), Abu Ayesh berkata, penggiat media di Gaza antara yang menjadi sasaran utama terkini bedilan bom tentera Zionis Israel.

“Ini detik cemas ibu pejabat Palestinian Media Group di tingkat 16 di bangunan Ghafri yang dibom tentera Israel menyebabkan tiga wartawan mengalami kecederaan,” katanya yang turut memuatnaik video ibu pejabat Palestinian Media Group yang dibom Israel tersebut.
Abu Ayesh sebelum ini aktif dalam membantu mengedarkan bantuan makanan dan keperluan asas hasil sumbangan rakyat Malaysia kepada penduduk Gaza yang kini berada di tengah-tengah medan konflik perang Hamas-Israel sudah sebulan berlanjutan sejak 7 Okt lalu. – HARAKAHDAILY 8/11/2023




















