WHO CA+, IHR 2005: Kerajaan Malaysia perlu teliti, terperinci 

Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kajian terhadap rundingan Triti Pandemik Perjanjian Konvensyen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO CA+) dan pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005) perlu dilaksanakan dengan terperinci dan betul-betul teliti oleh kerajaan Malaysia pada masa ini.

Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff berkata demikian susulan tindakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebelum ini yang dilaporkan menuntut kerajaan membantah rundingan WHO CA+ dan pindaan IHR 2005 kerana dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.  

- Advertisement -

Menurut beliau, WHO CA+ bermatlamat mencapai kesaksamaan dan keberkesanan lebih besar untuk pencegahan, kesediaan dan tindak balas wabak melalui kerjasama antarabangsa sepenuhnya.

“Pindaan IHR 2005 adalah satu usaha untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang dikesan semasa pandemik Covid-19 dan meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam menghadapi ancaman kesihatan awam.

“Proses rundingan WHO CA+ dan IHR 2005 itu tidak terhad kepada bidang kesihatan awam sahaja, malah turut meliputi bidang lain berkaitan seperti perdagangan, persekitaran, geopolitik dan sosioekonomi,” jelas beliau kepada HarakahDaily.

Wan Martina turut memberitahu, Pindaan IHR 2005  mempunyai kebaikan dan kelemahan; dan justeru beliau menggesa agar  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu membuat penelitian dan kajian secara menyeluruh sama ada ia sesuai  atau tidak sesuai dengan Malaysia, agar pertimbangan perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Perlu ada libat urus dari semua pemegang taruh  yang berkepentingan seperti pakar-pakar, orang awam, badan-badan bukan kerajaan (NGO), badan-badan profesional, ahli-ahli akademik, pakar-pakar perundangan dan lain-lain yang berkaitan,” tegas beliau.

“Malaysia boleh mengatakan tidak bersetuju jika ia bertentangan dengan dasar-dasar kerajaan atau jika ia dikhuatiri boleh memberi kuasa yang besar kepada WHO sehingga mampu menjejaskan kedaulatan atau keselamatan negara,” katanya.

Terdahulu, kerajaan dilaporkan akan memastikan negara tidak dicabuli dalam rundingan WHO CA+ dan IHR 2005 melalui kenyataan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa pada 2 Nov lalu yang berkata bahawa pendirian Malaysia pada ketika ini adalah tidak memuktamadkan keputusan sama ada untuk meraktifikasi atau menolak sebelum 1 Dis ini.

“Rundingan bagi penyediaan dokumen Badan Perundingan Antara Kerajaan (INB) WHO CA+ masih di peringkat awal dan tiada keputusan akan diberikan sehingga segalanya dipersetujukan,” katanya pada ketika itu.

Kerajaan juga menurut beliau tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang keputusan (WHO CA+ dan IHR 2005) yang bertentangan dengan Perlembagaaan Persekutuan sambil menegaskan ia komited dalam memelihara kedaulatan negara, kuasa Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong. – HARAKAHDAILY 6/11/2023

- Advertisement -