
KUALA LUMPUR: Isu kontroversi skrip dan lakonan drama di Tanah Suci Makkah sebagaimana yang tular semalam (31 Okt) di media sosial itu tidak sepatutnya berlaku sejak daripada awal lagi.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Dato’ Ahmad Yahaya berkata demikian mengulas mengenai drama berjudul, Surat Dari Tuhan yang disiarkan di saluran TV3, dan mula ditayangkan di slot Samarinda bermula 30 Okt lalu telah menjadi bualan ramai susulan beberapa klip yang memaparkan dialog yang dianggap ‘melampau’.
Surat Dari Tuhan mengisahkan tentang Misha lakonan Janna Nick, watak yang digambarkan sebagai seorang menantu jahat dan mendera ibu mertuanya Rafilah (lakonan Sheila Mambo).
Babak itu turut memperlihatkan Misha dan ibu mertuanya itu di dalam bilik hotel ketika mereka sedang menunaikan umrah di Makkah. Ketika di hadapan Makam Nabi SAW, Misha berkata kepada ibu mertuanya: “Hei perempuan, kau dengar apa aku cakap, depan makam Rasullullah ini aku cakap depan muka kau, kalau Rayan benci aku, aku akan pastikan dekat tanah haram ini kau mampus!”
Disebabkan dialog tersebut, rata-rata netizen mengecam pelakon dan pengarah drama kerana bersetuju untuk menggunakan dialog tersebut di Tanah Suci.
Ahmad Yahaya memberitahu HarakahDaily, adalah sangat tidak manis apabila skrip dan watak yang dipaparkan itu membabitkan keagungan dan ketertinggian nama Baginda Nabi SAW, sementelah lagi ketika berada di Tanah Suci yang mulia di sisi agama Islam.
“Namun, asasnya bukan di mana ungkapan skrip dan adegan itu semata-mata, malah kandungan skrip sedemikian juga haruslah dielakkan.
“Alangkah baiknya jika kita terlebih dahulu merujuk kepada para ‘alim ulama’ sebelum membuat sebarang bentuk penggambaran yang berisiko mencetuskan kontroversi,” tegas beliau.
“Kita perlu sedar bahawa Makkah dan Madinah adalah semulia-mulia tempat di atas muka bumi Allah SWT.
“Sewajarnya kita memenuhi tanggungjawab menjaga adab dan susila apabila berada di sana,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar pihak produksi drama tampil menjelaskan kedudukan sebenar serta memohon maaf di atas kekhilafan yang timbul mengenai beberapa layar skrin dengan skrip yang mencemar kemuliaan tanah suci tersebut.
“Saya menasihatkan agar semua pihak menghormati dua tanah suci umat Islam dalam apa jua keadaan sekalipun.
“Saya mengharapkan agar polemik ini dapat segera ditamatkan dan pihak yang terbabit segera menyelesaikan pertikaian secara konklusif,” jelasnya.
Ustazah Asma’ luahkan kekecewaan
Dalam pada itu, Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun meluahkan kekecewaannya kerana drama Surat Dari Tuhan yang menggunakan perkataan makam Nabi dan Masjid Nabawi dalam dialog yang kurang manis didengari menerusi drama tersebut.
Beliau menyampaikan teguran tersebut dalam satu siaran langsung di TikToknya semalam, sebelum sebahagian sedutan dikongsi semula oleh akaun @izamuhamad_lerve.
Selepas menonton sedutan babak tersebut, beliau seolah-olah sukar mempercayai bahawa pelakon telah melontarkan perkataan itu di Tanah Suci.
Ustazah Asma’ berkata, sepatutnya individu terbabit menjaga lidah, akhlak dan perbuatan tidak kira sebarang tujuan ke Tanah Suci.
“Tak rasa bersalah ke bila nak rakam babak itu, maksudnya tak boleh sebut makam Rasulullah.
“Tempat yang paling suci, tempat yang paling indah dan tempat yang seluruh umat Islam mendambakan untuk pergi, kenapa nak masukkan dialog seperti ini?
“Sedangkan nak berjanji perkara yang baik pun, kitai ni macam tak layak dan tak mampu sebab kita tahu kita lemah,” hujahnya.
Tambah beliau lagi, pelakon seharusnya menolak untuk membaca skrip tersebut di Tanah Suci kerana sebagai seorang manusia yang sudah merdeka, mereka mempunyai hak untuk menidakkan dialog berkenaan.
“Pada masa sama, jika tegurannya dijawab dengan alasan babak itu bukan dirakam di Tanah Suci, perkataan makam Nabi itu tetap dilarang untuk disebut,” katanya.
Ustazah Asma’ sehubungan itu, mengingatkan kepada pihak produksi dan penulis skrip drama bahawa mereka sentiasa diperhatikan oleh netizen. – HARAKAHDAILY 1/11/2023




















