Chile arahkan dutanya di Israel pulang

Presiden Chile, Gabriel Boric. (FOTO: France 24)
- Advertisement -

SANTIAGO: Kerajaan Chile mengumumkan memanggil balik dutanya di  Israel untuk rundingan, mengecam kerajaan Zionis  itu sebagai ‘tidak boleh diterima’ susuln  pencabulan hak asasi manusia dalam perang menentang kumpulan pengganas Hamas yang memerintah Gaza.

Tindakan itu diumumkan melalui platform  X oleh Presiden berhaluan kiri negara Amerika Selatan itu, Gabriel Boric, pada Selasa (31 Okt) yang mengecam operasi ketenteraan Israel di  Gaza berikutan pembunuhan beramai-ramai orang awam sejak 7 Okt  dan berkata beliau memandang perkara itu sebagai suatu ‘kebimbangan besar’.

- Advertisement -

Sementara Kementerian Luar Negara Chile dalam kenyataannya pula berkata, Chile mengutuk sekeras-kerasnya dan memerhati dengan penuh kebimbangan operasi ketenteraan Israel di Gaza, lapor Alarabiya.net.

“Operasi (ketenteraan) Israel adalah ‘hukuman kolektif’ terhadap penduduk awam Palestin di Gaza,” ujar kenyataan itu.

Ia juga menyeru penamatan segera permusuhan, pembebasan tebusan Israel yang didakwa  ditahan oleh pejuang Hamas, dan membenarkan transit bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza yang berjumlah kira-kira 2 juta itu.

Terdahulu pada hari itu, kementerian luar Chile berkata dalam satu kenyataan berasingan bahawa ia mendesak penyelesaian dua negara antara Israel dan wilayah Palestin.

Kritikan Chile terhadap serangan Israel ke atas Gaza itu adalah susulan langkah negara jirannya,  Bolivia yang bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel, juga  pada hari Selasa, memetik Israel sebagai telah melakukan ‘jenayah terhadap kemanusiaan’ terhadap warga Palestin di Gaza. – HARAKAHDAILY 1/11/2023

- Advertisement -