
KUALA LUMPUR: Demi rakyat, pemimpin-pemimpin politik di negara ini digesa jangan bermain dengan retorik kerana sekarang ini, orang ramai mempunyai literasi maklumat yang tinggi dan mahu penjelasan yang tepat serta jelas bagi sebarang isu berbangkit.
Penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata demikian susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Okt lepas bahawa beliau telah menerima banyak ugutan dan teguran oleh negara-negara yang cenderung kepada Israel khususnya Amerika Syarikat (AS) disebabkan kelantangan Malaysia berhubung isu Palestin.
Apa yang menarik, biarpun sudah banyak pihak menggesa Anwar agar mendedahkan pihak atau negara mana yang membuat ugutan kepadanya, sehingga sekarang beliau masih membisu; namun pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan pada 25 Okt lalu memberi jaminan akan mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan terhadap Perdana Menteri.
Sehubungan itu, Mohammad Tawfik berkata, demi rakyat di negara ini, beliau menggesa sekali lagi agar Anwar seharusnya mengumumkan negara mana dan memanggil duta atau wakil negara berkenaan sekiranya benar dakwaan mengenai Malaysia menerima ugutan khususnya daripada pemimpin Eropah ekoran kelantangan beliaumemperjuangkan isu Palestin.
“Perdana Menteri ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, baru-baru ini turut berkata, Malaysia akan kekal bebas dan terus mempertahankan kebebasan negara dan memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin.”
“Namun, rakyat berada dalam keadaan dilema dan tertanya-tanya negara manakah yang mengancam dan menggugut Malaysia,” tegasnya.
Mohammad Tawfik juga berkata, rakyat turut bimbang akan berlaku kejadian yang tidak diingini kepada Malaysia tanpa persediaan awal.
“Ini kerana jika tiada tindakan susulan selepas ugutan dan ancaman diberikan, rakyat dan negara juga perlu bersedia.
“Oleh itu, sebagai tanda ketegasan Malaysia, kerajaan perlu mengumumkan negara mana yang mengugut, kemudiannya menghantar nota bantahan, (sebelum) memanggil wakil diplomatik dan mengenakan tindakan ‘persona non grata’ kepada wakil diplomatik negara berkenaan.
“Kita tidak boleh lagi sekadar bercakap, Malaysia kena bertindak berdasarkan ketegasan,” katanya.
Terdahulu, pada 1 Julai 2023, Anwar dilaporkan media tempatan telah mendedahkan bahawa beliau menerima ugutan daripada ‘geng kaya’ yang didakwanya berpakat menggunakan ‘Hidup Melayu’ untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan. – HARAKAHDAILY 30/10/2023




















