Isu larang takbir: Penganjur digesa mohon maaf sekali lagi

Suasana di perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ anjuran bersama VPM dan MyCare di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 22 Okt 2023.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “UMMAH mendesak sekali lagi permohonan maaf, tetapi kali ini secara terbuka daripada penganjur dibuat kerana ia  sangat mengecewakan peserta yang hadir dan kepada seluruh umat Islam yang mengutuk sekeras-kerasnya jenayah Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

“Tindakan dan sikap penganjur  itu sangat memalukan umat Islam dan negara Islam di seluruh pelosok dunia.” 

- Advertisement -

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata demikian ketika mengulas tentang permohonan maaf daripada Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr Musa Mohd Nordin hanya melalui platform X, susulan perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ anjuran bersama VPM dan Humanitarian Care Malaysia (MyCare) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 22 Okt lepas, yang dikatakan telah meletakkan banyak syarat sehingga ada peserta perhimpunan dalam kalangan penganut Islam mendakwa laungan takbir, Allahu Akbar turut dilarang.

Mohd Zai menegaskan kepada HarakahDaily bahawa perhimpunan solidariti menyokong perjuangan rakyat Palestin adalah perjuangan akidah (agama) yang membawa semangat perjuangan Islam, bangsa dan tanah air.

“Adalah agak ganjil apabila mereka (orang ramai) yang hadir (pada perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine) ini tidak dibenarkan melaungkan takbir dan menghentam Israel yang jelas melanggar hak dan kedaualtan rakyat Palestin,” hujahnya.

Tambah beliau, seluruh dunia Islam dan juga bukan Islam mengetahui bahawa Israel adalah penjenayah perang dan dikutuk oleh seluruh dunia. 

“Tiada isu yang tidak boleh mengutuk Benjamin Netanyahu dan Zionis.

“Apakah muslihat penganjur himpunan semalam sehingga ada syarat tidak boleh takbir dan mengutuk Netanyahu? dan apakah makna himpunan jika semua syarat diatas tidak dibenarkan?” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2023

- Advertisement -