Gerak kerja jemaah perlu ada musyawarah

Mohd Ridzuan Hashim
- Advertisement -

SHAH ALAM: Kejayaan dalam gerak kerja jemaah tidak akan sama sekali mencapai kejayaan jika tanpa musyawarah.

Pembahas negeri Perlis, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim berkata, ia bertujuan merancang, melaksanakan dan memantau hasil yang akan diputuskan.

- Advertisement -


“Semua perancangan tidak akan berjaya dilaksanakan jika strategi yang paling utama iaitu musyawarah tidak diadakan bagi merancang, melaksanakan dan memantau hasil diputus.

“Namun begitu, jangan sekali-kali mengubah keputusan mesyuarat,” katanya ketika membahas ucapan dasar presiden pada hari kedua Muktamar PAS, di IDCC, di sini, hari ini.

Beliau juga menggariskan tiga strategi yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan pengajaran yang boleh diambil mengikut situasi semasa kini.

“Strategi pertama Rasulullah SAW ialah menyedarkan tentera Islam pada masa itu bahawa musuh Rasulullah adalah musuh Allah.

“Strategi yang kedua adalah Rasulullah SAW menekankan bab solat walaupun sedang dalam peperangan.

‘Strategi yang ketiga pula ialah sentiasa mengingatkan tentera Islam supaya bersiap sedia menghadapi peperangan yang lebih dahsyat selepas Perang Badar,” ujarnya lagi.

Seterusnya, beliau mengakhiri ucapan dengan lima rangkap pantun penuh bermakna untuk dihayati akan maksudnya yang berbunyi:

Segak bergaya semua perwakilan
Terpilih dari setiap kawasan
Asas kuasa amat diperlukan
Untuk Islam didaulatkan

Datang kemari meninggalkan rumah
Bergerak datang secara pasukan
Paksi utama kekuatan jemaah
Bermula dengan sebuah kesatuan

Bertolak pagi sampainya senja
Amanah dipikul amatlah berat
Kekuatan utama gerak kerja
Bermulanya dengan sidang mesyuarat

Setelah berhari berada disini
Pulanglah pula kehalaman sendiri
Padat sudah taujihat diisi
Dengan harapan menggunung tinggi.

Ana perwakilan dari Perlis
Kami berusaha bagi boleh
Maaf dipinta jika terguris
Semoga dikira amalnya soleh – HARAKAHDAILY 21/10/2023

- Advertisement -