
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu membuktikan bahawa ia peka dan cakna terhadap masalah anak muda lepasan pengajian supaya tidak menjadi mangsa amukan marah rakyat yang tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan pada masa kini; sebelum sebelum mengambil keputusan untuk tidak menyambung pemberian diskaun kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (PENDIDIK), Normala Sudirman berkata demikian sambil menggesa agar KPT mempertimbangkan semula perkara berkenaan.
“Ketika rakyat berada di bawah pimpinan Kerajaan Madani pada masa ini diuji dengan bebanan kos sara hidup yang kian meningkat, pihak KPT tidak seharusnya bersetuju memansuhkan pemberian diskaun pembayaran balik PTPTN.
“Belum reda lagi, rakyat di negara ini berdepan dengan masalah mendapatkan bekalan beras tempatan, bekalan asas seperti gula, telur dan minyak masak, tindakan kerajaan ini akan menambahkan lagi kesengsaraan rakyat,” katanya kepada HarakahDaily.

Menurutnya, jika dilihat pada masa sekarang, tidak semua graduan yang telah menamatkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam/ Swasta (IPTA/IPTS) yang sebelum ini mendapat pinjaman daripada PTPTN telah memperoleh pekerjaan yang setimpal dengan gaji bulanan.
“Jika difikirkan secara logiknya sudah tentu jika pembayaran diskaun ini dimansuhkan, ia akan menimbulkan kesulitan dan membebankan rakyat marhaen terutama bagi anak muda yang belum lagi bekerja dan terpaksa menganggur; sedangkan mungkin pembayaran balik PTPTN tanpa pemberian diskaun telah mula dikuatkan kuasakan,” hujah beliau.
Normala yang juga bekas pendidik menegaskan lagi, mekanisme tertentu perlu dikaji dengan penuh penelitian apakah langkah-langkah terbaik untuk mengatasi masalah pembayaran balik secara berjadual dalam keadaan rakyat sedang susah dengan beberapa pertimbangan tertentu supaya KPT dilihat cakna terhadap golongan tersebut.
“Diharapkan pihak KPT dapat melakukan konsultasi berterusan bersama Kementerian Kewangan (MOF) untuk memastikan inisiatif diskaun bayaran balik berkenaan sebagai agenda utama ddalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober ini bagi membela agenda belia,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2023




















