
KUALA LUMPUR: Menyertakan hashtag #PETANI BUKAN PEMALAS TETAPI SELALU DITINDAS, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) semalam telah mengadakan sidang media menggesa agar kerajaan campur tangan dalam kemelut yang tiada noktahnya apabila harga padi basah kembali kepada harga asal RM1,250 per tan.
Ia menimbulkan kemelut dan polemik, yang menurut PeSAWAH melalui hantaran Facebooknya, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia – Pesawah, susulan tindakan pengilang tindakan pengilang yang menurunkan harga pembelian padi secara drastik daripada RM1,700 per tan kepada antara RM1,200 hingga RM1,250 sejak semalam.
Tindakan itu menurut PeSAWAH telah memberi kesan besar kepada petani terutamanya kira-kira 50 peratus lagi golongan itu yang belum menuai hasil musim ini.
“Segala kos input pertanian dan juga kos operasi naik dan terpaksa ditanggung oleh golongan petani itu sendiri.
“Malah kemelut ini memaksa petani membeli padi benih dari rm31 untuk 20 kilogram di pintu kilang kini melonjak RM52 walaupun bersubsidi RM20.60.
“Di mana ketelusan serta tatakelola sesebuah agensi dalam menyelesaikan isu ini secara holistik atau bersifat sementara sedangkan kemelut ini bakal berlarutan ke suatu masa yang panjang ekoran ketiadaan serta kekurangan beras dunia masa kini…Semoga nasib petani seluruh negara tidak lagi di pandang sepi,” ujar kenyataan itu.
Kenyataan Facebook PeSAWAH itu adalah susulan Aksi Protes & Sidang Media Pesawah-pesawah Padi Berkenaan Harga Padi/Beras yang telah diadakan pada jam 8.30 pagi semalam, 8 Okt di Pusat Kegiatan Komuniti TTZ Lahar Budi, Mukim Derga, Alor Setar, Kedah.

Terdahulu, dalam hantaran Facebooknya, PeSAWAH menggesa Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Negara, Datuk Azman Mahmood perlu bertanggung jawab di atas ucapan beliau pada 7 Sept 2023 dalam di majlis libat urus bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, yang mana dalam ucapannya, beliau telah mengarahkan Bernas membeli padi pada harga RM1,600 per tan dengan bersaksikan pemain pemain industri serta berbagai perwakilan
“Pesawah seluruh negara gembira dengan ucapan beliau dan sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan kos yang ditanggung oleh pesawah selama ini.
“Namun malangnya bermula 3 Okt 2023, pengilang menurunkan harga belian RM1,700 kepada harga asal RM1,250 per tan.
“Pelbagai persoalan serta kemarahan pesawah kini tidak dapat disembunyikan lagi ekoran belian padi kembali ke harga asal.
Jumlah pesawah seluruh negara sekitar 220,000 orang kecewa kerana pesawahlah yang menyediakan nasi di meja makan sekitar 33 juta rakyat Malaysia dinafikan hak demi menjaga harga beras RM26 kekal. Harga beras perlu di semak semula kerana sudah melebihi 10 tahun,” ujar kenyataan tersebut. – HARAKAHDAILY 9/10/2023




















